BERNAMA
PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengurangkan secara berperingkat-peringkat bilangan pekerja asing di negara ini tanpa menjejaskan mana-mana sektor ekonomi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, ini kerana kerajaan mahu majikan tempatan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mendapat pekerjaan.
"Kita lihat bahawa dengan terdapatnya sumber yang mudah dari segi pekerja asing, mereka (majikan) merasakan ini satu jalan yang boleh memberi keuntungan yang lebih daripada mereka memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
"Jadi, kita sarankan agar rakyat tempatan diberi keutamaan dari segi pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Kebangsaan di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata,sudah tiba masanya pengambilan pekerja asing terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dihentikan segera selaras dengan keadaan ekonomi semasa negara.
Najib memberitahu, Kabinet turut mengarahkan agar penguatkuasaan terhadap pekerja asing yang tidak sah dipertingkatkan bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Semenanjung.
Katanya, kementerian yang berkenaan akan diarah untuk mengambil tindakan dan mengkaji jumlah bilangan pekerja asing yang terlibat.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik hasrat kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Setiausaha Agungnya, G. Rajasegaran berkata langkah itu wajar dilaksanakan memandangkan kini, dua sektor tersebut menggunakan khidmat kira-kira sejuta pekerja asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan