Oleh G.MANIMARAN
KUALA TERENGGANU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuktikan kenyataan beliau bahawa kerajaannya telah menghimpunkan pelaburan langsung asing bernilai RM10 bilion sejak 8 Mac lalu.
Muhyiddin mahu Ketua Menteri itu membuktikan kebenaran perakuan beliau itu dan bentuk insentif yang Pulau Pinang tawarkan bagi mendapatkan sejumlah pelaburan itu sepanjang sembilan yang lalu.
"Rakyat biasanya lupa... siapa jua pelabur langsung asing yang ingin membuat pelaburan di Malaysia perlu melalui Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan kementerian saya (MITI).
"Jadi, bagaimana Lim telah memperoleh pelaburan sejumlah itu? Kemungkinan itu adalah pembohongan besar ataupun kemungkinan diperoleh oleh kerajaan Pulau Pinang pimpinan Barisan Nasional sebelum ini," kata beliau.
Lim menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selepas parti komponen Pakatan Rakyat memenangi kerajaan negeri itu dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.
Untuk membuat pelaburan di Malaysia, seseorang pelabur perlu berhubung dengan Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum kerajaan-kerajaan negeri dimaklumkan tentang tindakan susulan, kata beliau selepas dialog dengan pengusaha balik dan songket di Kampung Losong Feri di sini.
Naib Presiden itu berada di sini sempena pilihan raya umum kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Kata Muhyiddin, MITI tiada rekod yang menunjukkan ia telah meluluskan pelaburan bernilai RM10 bilion bagi Pulau Pinang sepanjang tempoh yang dimaksudkan oleh Lim yang juga Setiausaha Agung DAP - parti komponen Pakatan Rakyat.
Katanya, kini menjadi tanda tanya bagaimana Lim berjaya memperoleh sejumlah pelaburan itu dalam tempoh 10 bulan.
"Cara beliau bercakap menunjukkan yang beliau tidak tahu pendekatan menarik pelabur. Kita tidak boleh mendapatkan pelabur dalam tempoh beberapa minggu atau beberapa bulan khususnya apabila ia melibatkan perundingan berbilion ringgit.
"Ini terpakai kepada semua negeri. Lim mesti menjelaskan bagaimana beliau mencapai angka itu atau mengaku bahawa telah mengelirukan orang ramai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan