HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Januari 2009

Pakatan Rakyat lebih demokratik, matang berbanding BN - Anwar

Sazali Mohd Nor


KUALA TERENGGANU - Pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) bukan sekadar simbol kehadiran ahli-ahli dan penyokong KeADILan namun merupakan komitmen kerja parti tersebut.

Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu, permuafakatan Pakatan Rakyat cukup padu selain jentera KeADILan dan para petugas PAS seluruh negara berhempas pulas membantu memenangkannya.

"Jentera PAS seluruh Malaysia dikerahkan dan bekerja berhempas pulas seolah-olah calon itu calon PAS,

"Kita (KeADILan) juga diminta bekerja (pilihan raya kecil Kuala Terengganu) seolah-olah calon (PAS) itu adalah calon KeADILan, tidak ada perbezaan dari segi simbol,"ujarnya ketika merasmikan Pelancaran Bilik Gerakan Utama KeADILan di Gong Kapas, dekat sini, semalam.

Beliau mendakwa tugas pihak media yang dikuasai oleh Barisan Nasional adalah untuk memecah belahkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, walaupun pengundi Cina tidak ramai di Kuala Terengganu namun kehadiran pemimpin-pemimpin bukan Melayu dari KeADILan dan pemimpin utama Parti Tindakan Demokratik (DAP) menunjukkan muafakat Pakatan Rakyat adalah jelas.

Menurutnya, muafakat parti-parti Pakatan Rakyat jelas dalam menghormati prinsip-prinsip perlembagaan yang mempertahankan kedudukan Raja-raja, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta hak-hak orang Melayu dan Bumiputera.

"Tetapi kita tekankan dalam masa yang sama penghayatan Islam dan mengangkat kedudukan Islam itu tidak sekali-sekali bercanggah dengan hak dan kebebasan hak agama yang dianuti oleh rakan-rakan kita yang lain," tegasnya.

Dalam perkembangan yang sama Anwar berkata pemuafakatan Pakatan Rakyat adalah lebih demokratik dan matang berbanding Barisan Nasional.

Beliau menjelaskan parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak akan bergabung dengan satu muafakat yang akan mengikat kebebasan parti-parti tersebut menyuarakan perbezaan antara satu sama lain.

"Premis dia kena 'clear' (jelas), kita menerima proses demokrasi, orang nak bercakap, bercakaplah, mengapa dalam kita bicarakan soal demokrasi kita kurang sabar bila kita mendengar satu pandangan yang kurang enak kita dengar.

"Saya tidak terlalu sensitif apabila ada pandangan-pandangan dan kenyataan antara KeADILan, PAS dan DAP yang tidak disepakati dengan jelas, kita harus beri ruang.

"Ini (Pakatan Rakyat) bukan Barisan Nasional di mana pimpinan Umno boleh memerintah (dictates) kemudian pimpinan MCA, Gerakan dan MIC semuanya menurut tanpa bantahan.

"Muafakat kita (Pakatan Rakyat) ini lebih demokratik lebih matang, itu prinsip kita, kita tidak mahu ada sesuatu yang terikat,"ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, pendirian PAS tentang Islam adalah jelas dan ianya bukanlah satu perkara yang baru.

Menurutnya, penjelasan telah dibuat berulangkali oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa beberapa peruntukan dalam undang-undang Islam yang dipanggil 'Hudud' itu hanya diterima pakai kepada umat Islam sahaja.

"Secara umum Pakatan Rakyat mahu dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama persekutuan itu dipandang secara serius dan bukan sebagai upacara rasmi sahaja," tegasnya. - azm/mks. _

Tiada ulasan: