Oleh Kamarulzaman Pid
PUTRAJAYA: Satu sindiket penipuan kad kredit dipercayai bergiat aktif dengan menyamar sebagai pekerja pusat khidmat panggilan kad kredit bagi memperdayakan orang ramai.
Menerusi modus operasi itu, sindiket terbabit akan menghubungi mangsa dan menyatakan bahawa urusan transaksi yang dilakukan mangsa tidak sah dan mereka diminta menjelaskan bayaran dengan segera.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Abdul Razak Abdul Majid, berkata dalam keadaan itu, mangsa akan mudah panik dan sindiket terbabit akan meyakinkan mangsa dengan mendakwa mampu membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
"Mangsa akan diminta memberikan maklumat peribadi dan nombor akaun masing-masing kepada sindiket berkenaan dengan jaminan masalah itu akan diselesaikan segera.
"Bagaimanapun, tindakan itu bukannya menyelesaikan masalah, malah menambah lagi masalah mangsa terbabit apabila mendapati mereka ditipu dan semua wang dalam akaun lesap sekelip mata," katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Khidmat Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan