Mat Zain Mat Isa
KUALA TERENGGANU - "Abdul Aziz boleh dianggap telah 'lulus' dengan baik pada 'hari pertama' tugas beliau di medan sebenar pilihan raya."
Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan di Stadium Negeri, pinggir bandaraya itu, 6 Januari mungkin dianggap yang terbaik pernah terjadi.
Selain bebas dari sebarang kekecohan atau kejadian tidak diingini, masing-masing pihak yang ikut mengiringi calon masing-masing kes itu juga berpuas hati dengan layanan sama rata yang diterima.
Selain kecekapan dan keterbukaan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner I, Dato' Mohd Shukri Dahlan memastikan kedaan terkawal, pujian juga seharusnya diberikan kepada Pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Sebagai pengalaman sulung beliau yang baru mengambilalih jawatan itu pada 31 Disember, Abdul Aziz boleh dianggap telah 'lulus' dengan baik pada 'hari pertama' tugas beliau di medan sebenar pilihan raya.
Perbezaan paling ketara ialah layanan sama rata yang diberikan kepada kem pembangkang. Rombongan pengiring calon yang turut sama dibenarkan memasuki pekarangan stadium berkenaan disediakan tempat rehat atau tempat menunggu yang bersesuaian dan munasabah. Kemudahan itu malah tidak jauh beza dengan apa yang disediakan untuk pemimpin BN.
Dalam sejarah pilihan raya kecil di Terengganu, sejarah layanan terburuk diterima para pemimpin PASs ialah pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Berang, lebih empat tahun lalu.
Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya daripada BN, Komaruddin Abdul Rahman, pada 30 Julai 2004. Sebagaimana Allahyarham Dato' Razali Ismail, Komaruddin juga meninggal di Genting Highlands dan turut dikaitkan dengan masalah jantung.
Penamaan calon bagi PRK Dun N23. Kuala Berang diadakan di Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Isnin, 16 Ogos 2004. Ia menyaksikan pertandingan dua penjuru antara PAS dan BN. PAS diwakili Haji Muhyiddin Abdul Rashid yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu (1999). Manakala BN meletakkan Mohd Zawawi Ismail, seorang bekas pegawai pendidikan daerah.
Apa yang dikesalkan, diskriminasi melampau oleh SPR pada hari itu amat menghinakan bagi para pemimpin PAS. Sementara para pemimpin BN yang mengiringi calon mereka disediakan bilik khas dengan sofa dan hawa dingin, para pemimpin PAS pula hanya ditempatkan di kantin pejabat berkenaan.
Persoalan utama bukannya keselesaan, tetapi ketidakadilan layanan tersebut. Insiden itu tetap menjadi pengalaman paling buruk bagi para pemimpin PAS terbabit.
Alhamdulillah, majlis serupa 6 Januari di Kuala Terengganu tidak mengulangi pameran buruk oleh SPR.
"Kita mahu keadaan ini (ketelusan dan keadilan SPR) kekal sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian," kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa. - azm/mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan