HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 Januari 2009

Sangsi undi pos, Pakatan mahu hapus jika berkuasa

Oleh G. MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: PAS mahu menghapuskan sistem pengundian pos kalangan anggota keselamatan polis dan tentera jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini atas alasan tidak telus dan tidak adil.

Sambil mengalu-alukan perubahan prosedur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika proses pengundian pos di sini semalam, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, pengundian pos membabitkan anggota polis dan tentera perlu dihapuskan.

"Ini (perubahan prosedur semalam) adalah langkah pertama, kami menyambut baik... tetapi ia bukan menyelesaikan masalah sistem pengundian pos, harap masalah yang berkaitan dengan undi pos diselesaikan," kata beliau pada sidang media harian di Markas PAS Kuala Terengganu di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Mustafa, yang juga Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil PAS berkata, pihaknya mahu mengekalkan undi pos membabitkan pekerja pilihan raya dan luar negara.

Katanya, pengundian pos juga tidak bebas, malah tidak digemari oleh anggota polis dan tentera.

"Anggota polis dan tentera boleh mengundi pada hari pengundian secara normal, tidak perlu menerusi pos," katanya.

Mustafa juga memberitahu, pengundian pos juga tidak memihak kepada pembangkang dalam kebanyakan kes termasuk dalam pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Takir.

"Di kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada Mac lalu, 94 peratus undi pos telah pergi kepada calon Barisan Nasional," kata beliau.

Pada Mac lalu kerusi itu dimenang oleh calon BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail dengan kelebihan 628 undi.

Semalam buat pertama kali SPR membenarkan ejen calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, ditempatkan bersebelahan ketua tempat undi pos.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sebelum ini, ejen berkenaan dibenarkan memasuki kawasan itu tetapi ditempatkan jauh daripada ketua tempat undi pos atau pegawai polis yang mengeluarkan kertas undi pos tersebut.

Langkah itu bagi membuktikan ketelusan SPR serta memastikan semua pihak berpuas hati dengan perjalanan proses undi pos termasuk melihat pengundi memasukkan kertas undi ke dalam karung yang disediakan di tempat berkenaan.

Beliau berkata, ejen calon yang bertanding dapat melihat semua proses mengundi termasuk mendengar nama pegawai dan anggota yang dipanggil mengundi di Dewan Rendang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Seramai 838 anggota polis dan tentera mengundi semalam dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang mana pengundian rasmi diadakan Sabtu ini.

SPR mewartakan seramai 1,001 pegawai dan anggota polis layak mengundi untuk pilihan raya kecil itu namun seramai 190 orang sudah bertukar, bersara, berhenti atau meninggal dunia.

SPR menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil itu, yang membabitkan 80,229 pengundi berdaftar. Pengundi pos terdiri daripada 1,001 anggota polis, 27 tentera, tujuh penuntut yang menuntut di luar negara dan 267 petugas pilihan raya.

Pilihan raya kecil tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Tiada ulasan: