HALAMAN SANTAI

Sabtu, 11 April 2009

Anak babi berlegar depan masjid

UTUSAN ONLINE


ALOR GAJAH – Lebih 2,000 penduduk Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru di sini digemparkan dengan penemuan terbaru seekor anak babi yang berlegar di hadapan masjid kampung berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, salah seorang penduduk yang menjumpai anak babi tersebut, Ahmad Darwi, 52, berkata, pada mulanya, dia menyangkakan anak babi itu adalah seekor arnab.

‘‘Ketika saya menunggang motosikal untuk minum pagi di sebuah gerai dekat masjid, saya terpandang seakan-akan benda bergerak dekat tembok masjid. Bila saya hampiri benda itu, ia seekor haiwan dan saya ingatkan seekor arnab.

‘‘Bagaimanapun, bila diamati betul-betul, alangkah terkejutnya saya apabila menyedari haiwan yang bergerak-gerak itu rupanya seekor anak babi,” katanya.

Ahmad yang bekerja sebagai nelayan di kampung itu berkata, dia kemudiannya cuba menangkap anak babi itu, namun tidak berhasil kerana haiwan itu masuk ke kawasan rumah penduduk berhampiran.

‘‘Hampir setengah jam saya cuba menangkap anak babi tersebut dan akhirnya dengan bantuan beberapa penduduk yang kebetulan berada di situ, anak babi itu berjaya juga ditangkap,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Bahar, 51, mengesyaki anak babi tersebut dilepaskan pihak tertentu dan bukannya terlepas dari kandang babi.

Ujarnya, agak mustahil anak babi yang terlepas dari kandang boleh berada berdekatan masjid berkenaan kerana kandang babi paling hampir terletak kira-kira 700 meter dari situ.

‘‘Lagipun, terdapat sebatang parit besar memisahkan kandang itu dengan kawasan kampung. Binatang itu tidak mampu untuk menyeberang parit ini,’’ katanya.

Katanya, penduduk di situ berasa kesal kerana kejadian penemuan babi masih berlaku di kampung itu, seolah-olah pihak yang berkenaan tidak bimbang dengan tindakan mereka itu yang mencabar pihak berkuasa dan kesabaran penduduk kampung terbabit.

‘‘Kejadian ini amat memalukan agama Islam dan kami mahu pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu bagi menghapuskan pusat penternakan babi di Paya Mengkuang,” katanya.

Penemuan anak babi yang dianggarkan seberat lapan kilogram pada Rabu lalu itu adalah yang keempat di kampung itu setakat ini.

Tiada ulasan: