HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 April 2009

Bina jambatan lurus

UTUSAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Satu keputusan tegas perlu diambil berhubung projek jambatan menggantikan Tambak Johor agar masyarakat tidak memandang negatif ke atas dasar kerajaan yang sentiasa berubah-ubah.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, melihat kepada senario semasa, kini merupakan waktu yang tepat bagi kerajaan mengadakan rundingan semula dengan Singapura bagi merealisasi sebuah jambatan baru yang lurus dan bukannya bengkok.

"Saya menyeru kepada kerajaan agar bertindak dengan tegas kerana pembinaan jambatan itu adalah satu keperluan untuk menyelesaikan masalah pengangkutan bagi kedua-dua negara.

"Ia juga boleh dilihat sebagai satu projek kerjasama antara Malaysia dan Singapura seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru bahawa beliau telah mendapat persetujuan awal dengan Singapura akan terdapat beberapa projek ikon terutamanya di Iskandar Malaysia," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas desakan ramai pihak agar kerajaan mengkaji semula projek Jambatan Bengkok yang pembinaannya dibatalkan pada 2006 kerana langkah itu boleh menimbul tanggapan negatif masyarakat ke atas dasar yang tidak tegas dan sentiasa berubah apabila bertukar kepimpinan.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, rasional jambatan itu patut diluruskan kerana apa yang berlaku sekarang, laluan Tambak Johor ke Bangunan Sultan Iskandar yang berdasarkan projek jambatan bengkok tidak berkesan dan masih menimbulkan kesesakan.

Beliau berkata, bagi mengelakkan masalah itu terus berlaku, adalah lebih baik kerjaan mengadakan perundingan dengan Singapura agar dapat membina sebuah jambatan baru yang lurus dan dibiayai oleh kedua-dua pihak.

Katanya, jambatan lurus juga dijangka dapat mengatasi masalah pejalan kaki yang mungkin tidak dapat berbuat demikian apabila jambatan bengkok siap dibina kelak.

Tiada ulasan: