Saidah Hairan
Keputusan pilihan raya Parlimen P059 Bukit Gantang (Perak) dan Dun Bukit Selambau (Kedah) menyebelahi PAS dan KeADILan daripada Pakatan Rakyat.
Pada pilihan raya di Bukit Gantang, calon PAS, Mohammad Nizar memperolehi undi sebanyak 21,860 berbanding BN sebanyak 19,071 undi manakala Bebas 62 undi.
Kelebihan undi yang diberikan oleh penduduk Bukit Gantang kepada PAS sebanyak 2,789. Satu kemenangan yang boleh dikatakan selesa dengan adanya pertambahan undi.
Keputusan Dun Bukit Selambau yang membariskan 13 calon Bebas memberi kemenangan kepada calon KeADILan. Calon KeADILan mendapat 12,632 undi BN 10,229 undi manakala Bebas 1,079 undi untuk 13 calon.
Dua 'bukit' yang berpihak kepada Pakatan Rakyat menunjukkan isyarat bahawa BN berada dalam keadaan 'nazak'. Hanya orang Melayu khususnya mereka yang berpendidikan rendah dan taksub dengan Umno saja masih menyanjungi BN.
Pemberian basikal serta wang kepada pengundi Melayu dan Cina di Changkat Jering, Bukit Gantang tidak mendatangkan hasil yang baik kepada BN.
Di Bukit Gantang, sokongan berani pengundi Cina dan India telah ditunjukkan ketika hari penamaan calon dan kempen selama 10 hari.
Bukan saja premis milik Cina dipasang bendera PAS tetapi pemilik kereta turut mempunyai poster dan kipas PAS dalam kenderaan mereka.
Sepanjang kempen pilihan raya, kebanyakan pengundi Cina dan India yang ditemui menyatakan supaya jangan ada perasaan risau kerana masyarakat mereka tetap menyokong calon PAS.
Bagaimanapun, pengakuan anggota masyarakat Cina dan India yang ditemui tidak dijadikan alasan kepada perayu undi khususnya ahli dan pimpinan PAS Wilayah Persekutuan untuk duduk 'goyang kaki'. Sebaliknya tugas merayu undi lebih rancak dijalankan.
Kesediaan dan kesanggupan petugas PAS dari Wangsa Maju, Titiwangsa, Bandar Baru Tun Razak, Kepong dan Batu (Wilayah Persekutuan) amat disanjung. Ada antara mereka yang berada di Bukit Gantang sehari selepas hari penamaan calon sehingga sehari selepas hari mengundi.
Kesungguhan petugas PAS Muslimin dan Muslimat khususnya dari Wilayah Persekutuan tertera apabila mereka mendatangi pengundi tanpa mengira hujan atau panas.
Strategi dan pelaksanaan ketika menjalankan tugas merayu undi disepakati oleh pimpinan PAS Wilayah Persekutuan antaranya, Setiausaha PAS, Hedzer Ibrahim; pimpinan Pemuda, Kamaruzaman dan Timbalan Pesuruhjaya 3, Salbiah Abdul Wahab.
Petugas PAS UPU Simpang (Taman Kaya) yang dikelolakan oleh Petugas PAS Wilayah Persekutuan turut mengadakan khidmat memotong rambut, menukar minyak hitam (untuk motor) dan cuci kereta diadakan di simpang jalan dengan bayaran RM2 saja.
Perkhidmatan dari pagi hingga tengah hari Ahad itu mendapat sambutan menggalakan daripada masyarakat Cina, India dan Melayu.
Kumpulan perubatan turut memberi perkhidmatan pemeriksaan percuma pada hari Isnin yang diketuai oleh Ketua Muslimat PAS Bandar Tun Razak, Dr Rosni.
Sebaran risalah dan poster berkenaan calon PAS, Nizar turut diberikan kepada pengguna jalan raya. Lebih kurang 10 orang Muslimat PAS Wilayah diketuai Timbalan Pesuruhjaya 3, Salbiah Abdul Wahab turut mengedarkan risalah dan akhbar Harakah kepada pengguna jalan raya di Simpang berhampiran pasar.
Kebanyakan pengguna jalan raya yang menaiki kereta, lori dan motosikal memberi respons yang baik dengan cara membunyikan hon, angkat tangan dan mengambil risalah.
Bagaimanapun, tidak kurang juga pengguna jalan raya yang menunjukkan tanda lucah kepada Muslimat selain risalah yang diberikan dibuang.
Dalam keseronokan menyebarkan risalah kempen dan akhbar Harakah kepada pengguna jalan raya, kumpulan Muslimat telah diberi amaran daripada polis untuk segera beredar.
Amaran itu tidak melumpuhkan semangat Muslimat kerana 10 minit selepas itu, mereka kembali menjalankan tugas mengedarkan risalah di tempat yang sama.
Ketika merayu undi dari rumah ke rumah ada tuan rumah yang tidak mahu keluar rumah. Ada juga dikalangan mereka yang keluar rumah dan berkata, "Maaflah sebab saya pun Ketua Umno Cawangan."
Ada juga yang berkata kepada perayu undi ketika ditunjukkan poster calon PAS mereka berkata; "Siapa Nizar, orang mana, saya tidak pernah kenal dia ni orang mana?"
Para pengundi Muslimat yang diiringi Muslimin hanya tersenyum dan membalas; "Tak apalah encik, jangan lupa hari mengundi pangkah calon PAS, Dato' Nizar..."
Walaupun pilihan raya kecil itu di Bukit Gantang, jentera PAS dari Terengganu, Kelantan, Johor, Pahang, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang berhimpun di sana bagi memastikan calon PAS dipilih rakyat.
Kempen selama 10 hari itu telah membuktikan bahawa Nizar masih di hati penduduk Bukit Gantang, Perak.
Begitu juga calon KeADILan di Bukit Selambau, S Manikumar telah diberi amanah oleh rakyat untuk menjadi exco kerajaan negeri Kedah. - lanh _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan