HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 April 2009

Empower kesal BN eksploitasi wanita pancing undi

Muhammad Faiz


KUALA LUMPUR - Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) kesal dengan taktik Barisan Nasional (BN) mengeksploitasi wanita dalam memancing undi pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Jurucakapnya berkata, tindakan pemimpin BN yang menggunakan wanita berpakaian seksi untuk memancing undi, adalah satu penghinaan kepada wanita, seolah-olah tubuh badan wanita hanya berguna untuk memancing undi.

"Tindakan mengeksploitasi wanita menunjukkan bagaimana BN terdesak untuk menarik orang ramai menghadiri kempennya," katanya dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Harakahdaily semalam.

Empower menyatakan kekesalannya berikutan satu majlis makan malam anjuran BN Perak yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Zahid Hamidi, di mana tiga gadis berpakaian seksi dengan singlet biru dan berseluar pendek mempersembahkan tarian dan nyanyian.

"Kenyataan Zahid bahawa persembahan tersebut merupakan budaya kaum Cina adalah satu kenyataan dari seorang yang bersifat dangkal dan tidak memahami budaya kaum lain," katanya.

"Ini adalah kali kedua BN menggunakan taktik yang sama setelah menggunakannya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh. "Pada setiap pilihan raya kecil, kami tidak mendengar sebarang langkah positif ke arah membentuk wanita menjadi pemimpin parti politik sedangkan 50 peratus daripada keseluruhan pemilih adalah wanita," katanya.

Empower juga kesal dengan tindakan sesetengah pihak mengetengahkan isu Elizabeth Wong dalam kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang.

"Ini merupakan politik murahan, memalukan dan penghinaan kepada maruah seseorang khasnya dan kepada rakyat Malaysia umumnya," katanya.

"Kempen sepatutnya memfokus kepada apakah perancangan dan gerak kerja calon yang bertanding yang ingin dilaksanakan demi kebaikan pengundi di kawasan tersebut," katanya.

Mereka tidak sewajarnya mengeksploitasi wanita dengan menonjolkan tarian atau persembahan yang menghairahkan untuk memancing undi, katanya. - lanh_

Tiada ulasan: