HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 April 2009

Isu Kabinet: Muhyiddin minta MIC jangan bincang secara terbuka

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menasihati MIC supaya tidak membincangkan sebarang rasa tidak puas hati berhubung peruntukan kerusi dalam Kabinet secara terbuka.

Sambil menegaskan ia sebagai hak Perdana Menteri untuk memutuskannya, Muhyiddin berkata, MIC seharusnya berbincang dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak jika ia tidak berpuas hati.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah tugas jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini sebentar tadi.

Muhyiddin mengulas laporan bahawa MIC menimbangkan kemungkinan mengeluarkan keanggotaannya dalam Kabinet baru yang diumumkan Khamis lalu.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mahu berbuat demikian kerana tidak diberikan keutamaan yang seimbang dan signifikan dalam barisan jemaah menteri pimpinan Najib.

Pertimbangan untuk keluar Kabinet itu diputuskan Jumaat lalu iaitu pada hari yang sama jemaah menteri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bilangan perwakilan MIC dalam Kabinet kekal dengan seorang menteri dan dua timbalan menteri sebagaimana diperuntukkan Mac 2008.

Setiausaha Agung Datuk Dr. S. Subramaniam dilantik Menteri Sumber Manusia; Bendahari Datuk S.K. Devamany sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan, Datuk M. Saravanan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Pertimbangan keluar Kabinet itu dijangka dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC Khamis ini.

Tiada ulasan: