HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 April 2009

Kabinet diumum hari ini: Separuh muka baru

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Hampir separuh muka baru dijangka membarisi Kabinet baru di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber memberitahu, saiz barisan Kabinet juga diperkecilkan manakala pengisian keanggotaan dari Sabah dan Sarawak turut diberi perhatian.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan ketika ditemui pemberita di luar Pejabat Perdana Menteri di sini berkata, Najib bakal mengumumkannya esok.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagaimanapun enggan menyatakan jumlah wakil rakyat dari negeri itu yang akan membarisi Kabinet baru.

''Terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya. Beliau (Najib) akan bercakap mengenai perkara ini esok," katanya.

Pada masa ini, Kabinet mengandungi 29 orang menteri dengan 27 kementerian.

Pairin hari ini mengadakan pertemuan dengan Najib di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Kenderaan beliau memasuki pekarangan bangunan tersebut kira-kira pukul 3.35 petang dan keluar sejam kemudian.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok mengakui kepada Utusan Malaysia hari ini bahawa beliau bertemu Najib Khamis lalu membincangkan penyusunan Kabinet, sebelum berlepas ke Batang Air.

''Kita telah sampaikan pandangan tentang keperluan lebih banyak pemimpin dari Sabah dan Sarawak untuk mengisi Kabinet baru.

''Ini berdasarkan kepada keperluan kedua-dua negeri itu yang luas saiznya berbanding Semenanjung selain pelbagai isu setempat yang perlu diberi perhatian," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di pekarangan Bangunan Perdana Putra petang ini mendapati kenderaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membawa kelengkapan untuk penyiaran di luar studio kelihatan diletakkan di situ.

Dijangkakan RTM akan menyiarkan secara langsung pengumuman barisan Kabinet baru itu.

Tiada ulasan: