HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 April 2009

Kepimpinan Najib wajar disangsikan!

Wan Nordin Wan Yaccob


Tanggal 3 April 2009 tercatat dalam sejarah Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri keenam, walaupun dalam suasana yang penuh 'kontroversi'.

Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi PM paling singkat dalam sejarah Malaysia selepas pentadbirannya diasak kawan dan lawan.

Paling menyedihkan, musuh nombor satu Abdullah iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula ke dalam Umno sebaik sahaja Abdullah 'turun takhta'.

Mahathir adalan antara individu paling lantang mengecam kepimpinan Abdullah dengan pelbagai istilah diberikan kepada bekas PM itu antaranya 'penidur'; 'kerajaan tiga beranak'; dan kerajaan yang ada 'penasihat tingkat empat'.

Usaha menjatuhkan Abdullah antaranya didukung kuat Mahathir yang hari ini nyata menampakkan sokongan padu kepada Najib sebaik sahaja anak didiknya itu jadi Presiden Umno dan PM.

Licik sungguh permainan Mahathir dan Najib, hingga Abdullah yang mempunyai penasihat bijak di 'tingkat empat' Putrajaya pun tidak terhidu akan sudahnya begini.

Abdullah jatuh dalam keadaan yang paling menyedihkan, diherdik kawan (Umno) dan dicaci lawan selain pada zamannya juga berlaku krisis ekonomi yang amat dahsyat.

Najib mengambil alih dengan 'senyuman' sinis yang pastinya ada 'udang sebalim batu' dengan pembebasan 13 tahanan ISA dan penarikan semula larangan terbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Seperti kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pelantikan Najib selaku PM hanyalah lantikan atas dasar kemelut yang berlaku dalam Umno.

Sebaliknya dihati rakyat Najib bukanlah pilihan yang ditunggu kerana imej negatif membayangi pelantikan PM keenam itu yang bakal mentadbir dengan nasihat 'first lady' (Datin Seri Rosmah Mansor) yang mencetus kontroversi.

Najib menjadi PM selepas Umno/BN berhadapan dengan kemelut kecemasan setelah kalah besar dalam pilihan raya umum ke-12; pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.

Justeru kelihatan Najib amat khuatir BN di bawah kepimpinannya sukar mendapat kepercayaan baru rakyat bahawa beliau akan mampu mebawa perubahan dengan slogan 'One Malaysia'nya.

Langkah popular Najib hanya dilihat sebagai langkah terdesak didalam usaha untuk mendapat kepercayaan rakyat dengan mengumumkan tiga perkara ini didalam ucapan rasminya yang pertama yang disiarkan melalui media perdana.

Namun, keikhlasan Najib untuk menyuburkan demokrasi di Malaysia masih disangsikan oleh ramai pihak.

Najib bukan orang baru didalam politik, beliau telah berada dalam kepimpinan Umno/BN sejak lebih dari 30 tahun yang lalu.

Pemikiran, gaya, cara, budaya dan hidup Najib telah digelumangi dengan cara dan etika Umno/BN, akta zalim ISA sebenarnya tetap akan terus menjadi snjata utama jika beliau terdesak nanti.

Jika benar Najib ikhlas, mengapa hanya 13 orang sahaja tahanan ISA yang dibebaskan, sedangkan hampir 100 lagi yang telah ditahan sejak 2001 seperti tahanan Jemaah Islamiyah, Mat Sah Mat Satray yang terus meringkuk bertahun lamanya.

Jika ada keberanian Najib perlu membebaskan kesemua tahanan ISA dan memansuhkan akta zalim ini yang digunakan ketika Umno nazak.

Membebaskan segelintir kecil tahanan lebih menunjukkan ketidakjujuran didalam usaha mengelirukan rakyat. Najib masih was-was untuk memansuhkan ISA kerana ISA boleh digunakan sebagai senjata untuk menakut-nakutkan musuh-musuh politiknya.

Pembebasan Harakah dan Suara Keadilan ketika kempen pilihan raya kecil masuk fasa akhir hanya helah besar Najib, sedangkan pada awalnya sekatan adalah untuk menafikan hak kempen dua akhbar ini.

Ramai melihat, jika dua akhbar ini dapat melaporkan rekod cemerlang calon-calon Pakatan Rakyat pastinya suasana PRK Kuala Terengganu dan Permatang Pauh menjadi mimpi ngeri kepada Umno/BN.

Paling menarik, pentadbiran Najib pastinya tidak akan sunyi dari isu permasalahan untuk membersihkan imejnya. Kehidupan dan hayat politiknya selama 30 tahun terancam apabila beliau dibayangi oleh persepsi yang membuatkan rakyat mula tertanya.

Samada persepsi itu benar atau salah ia adalah perkara kedua kerana malangnya di dalam suasana politik semasa, persepsi ini bakal menentukan untung nasib seseorang pemimpin.

Justeru itu seseorang pemimpin perlu memastikan bahawa persepsi rakyat kepada mereka adalah sentiasa baik.

Najib digelumangi dengan isu pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu yang bukan sahaja menjadi isu dalam negara tetapi telah menjadi bahan cerita dimedia antarabangsa.

Perihal sebenar dalam kisah pembunuhan gadis jelita Mongolia ini dibunuh secara kejam masih menjadi tanda tanya.

Apakah motif dua orang anggota polis Unit Tindakan Khas yang dituduh membunuh Altantuya dengan Abdul Razak Baginda dan apakah pula hubungan Abdul Razak Baginda dengan Najib.

Ke mana kelibat DSP Musa Safri yang disebut-sebut dalam perbicaraan mutahir ini yang menimbulkan lagi persoalan besar.

Begitu juga isu-isu pengautan kontrak-kontrak besar dan kecil yang dikaitkan khususnya dengan beberapa kroninya.

Jika Najib gagal membersihkan namanya, beliau akan dibayangi dengan permasalahan imej. Persepsi-persepsi negatif yang ada sekarang terhadap Najib menyebabkan beliau akan menjadi liabiliti atau beban kepada Umno/BN.

Kesan imej negatif ini mungkin bakal mencorak gaya kepimpinan Najib dan seperti kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub kepimpinan Najib wajar disangsikan selagi imejnya tidak dibersihkan melalui perundangan. _

Tiada ulasan: