HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 April 2009

MOE AKAN KAJI PSIKOLOGI PELAJAR 'TAHI' INTERNET

Oleh Safhras Khan

KEMENTERIAN Pendidikan Singapura(MOE) akan menjalankan satu kajian bagi mempelajari psikologi dan sikap pelajar 'ketagih' Internet sebagai sebahagian pelan induk Teknologi Infokomnya.

Mendedahkan ini, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kajian itu diharap dapat membantu MOE dalam memahami sikap belia dalam soal Internet.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) baru-baru ini bahawa ibu bapa kurang prihatin tentang kegiatan anak-anak di alam siber. Encik Masagos ditemui sewaktu bengkel imbuhan bahasa Melayu di Kelab Masyarakat Tampines West semalam.

Menurut beliau, sejak tahun lalu sekolah telah memulakan langkah awal pengawasan, dengan program cyber wellness, bagi memastikan pelajar tidak melayari laman berunsur lucah, jenayah dan pengganasan. Program itu diadakan sewaktu perhimpunan sekolah atau kelas sivik dan moral.

Namun beliau menegaskan tugas memantau bahaya Internet tidak terletak di bahu sekolah saja.

'Di rumah, ibu bapa sepatutnya meletak komputer di kawasan terbuka supaya mereka dapat mengawasi kegiatan anak-anak mereka. Mereka juga harus mengajar anak-anak supaya berdisiplin apabila menggunakan Internet, seperti menggunakannya apabila anggota keluarga belum tidur,' katanya.

Beliau juga mengajak ibu bapa menyertai bengkel pemantauan siber anjuran pelbagai pihak, seperti sekolah dan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).

'Laman-laman pengganasan misalnya boleh mewujudkan kebencian terhadap mereka yang dianggap menindas umat Islam, seperti Amerika Syarikat dan negara Barat lain. Namun usaha pemantauan ini memerlukan kerjasama ramai pihak, termasuk masyarakat, ibu bapa dan juga rakan-rakan,' kata Encik Masagos.

Bengkel imbuhan bahasa Melayu bagi lebih 400 guru itu bertujuan meningkatkan keupayaan guru dalam penggunaan imbuhan. Ia anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Junyuan dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Tampines West.

Seorang peserta, Cik Irvena Herlin Abdullah, guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Xishan, berkata bengkel itu perlu dijalankan secara tetap.

'Bengkel ini bagus sekali untuk guru-guru, yang baru mahupun yang berpengalaman, kerana kita dapat membina dan menggarap kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam bilik darjah,' ujarnya.

Tiada ulasan: