BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketika berusia 22 tahun, Datuk Seri Najib Tun Razak - anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein - tiba- tiba mendapati dirinya 'terjerumus' dalam kancah politik.
Ini berlaku apabila bapanya meninggal dunia pada usia 53 tahun akibat leukemia semasa masih menjawat jawatan perdana menteri.
'Ayahanda saya tidak pernah merancang untuk saya sertai politik,' kata Datuk Seri Najib, 55 tahun, dalam tulisannya berjudul A Hard Act To Follow.
Beliau berkata bapanya tidak menggalakkan beliau terlibat dalam politik kerana mahu beliau belajar bidang perakaunan.
Malah, beliau mengambil bidang ekonomi dan lulus dengan ijazah Ekonomi Perindustrian daripada Universiti Nottingham pada 1974.
Beliau kemudian menjadi pengurus perhubungan awam Petronas sehingga 1976 apabila ditawarkan bertanding kerusi Parlimen Pekan berikutan pemergian ayahandanya.
Pada 1981, ketika umurnya 28 tahun, beliau menjadi anggota termuda Majlis Tertinggi Umno.
Semasa berlaku pergolakan dalam Umno pada 1987 yang menyebabkan parti itu dibubarkan, Datuk Seri Najib dilantik pemangku Ketua Pemuda Umno, dan apabila Umno Baru ditubuhkan, beliau menjadi Ketua Pemuda sehingga 1993 apabila beliau memenangi kerusi Naib Presiden parti.
Beliau mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti pada 1996 dan 2000, dengan meraih undi terbanyak.
Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Presiden Umno pada 2003 dan digantikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau menjalankan tugas sebagai orang nombor dua dalam parti sehinggalah disahkan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti 2004.
Dan pada tahun ini, selaras dengan peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada beliau, Datuk Seri Najib disahkan pula sebagai Presiden Umno pada perhimpunan agung Umno minggu lepas.
Dalam pentadbiran kerajaan pula, Datuk Seri Najib memulakan perkhidmatannya pada 1978 ketika berusia 25 tahun apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos oleh bapa saudaranya yang juga Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.
Dua tahun kemudian, beliau dilantik pula sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
Dalam pilihan raya umum 1982, di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, beliau bertanding pula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Bandar Pekan, dan dilantik Menteri Besar Pahang ke-11 pada usia semuda 29 tahun.
Beliau memegang jawatan itu selama empat tahun sebelum berpindah semula ke pentadbiran kerajaan pusat dengan dilantik Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, setelah memenangi kerusi Parlimen Pekan pada usia 33 tahun.
Pada 1990, Datuk Seri Najib dilantik Menteri Pertahanan dan empat tahun kemudian menjadi Menteri Pendidikan sebelum kembali ke Kementerian Pertahanan pada 1999 dan pada September tahun lepas, dilantik Menteri Kewangan.
Selain meninggalkan kesan besar di semua kementerian yang diterajuinya, beliau juga ditugaskan pada 2004 bagi membimbing Felda, satu skim pembangunan tanah yang dipelopori oleh Allahyarham bapanya.
Beliau memperkenalkan pelbagai program termasuk menjadikan Felda sebuah konglomerat bertaraf dunia selain memberi tumpuan kepada bidang pendidikan kepada anak-anak peneroka.
Walaupun amat sibuk dengan tugasnya, Datuk Seri Najib sempat menghasilkan tiga buku berjudul For The Sake Of Peace, Asia-Pacific's Strategic Outlook - Shifting Of Paradigms dan Defending Malaysia: Facing The 21st Century.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan