Amin Iskandar
Tiga pilihanraya kecil berlangsung serentak pada 7 April yang lalu di Batang Ai, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. National Institute for Electoral Integrity (NIEI) melihat beberapa perkara yang boleh disifatkan sebagai suatu proses yang tidak telus dan mencemarkan perjalanan proses pilihanraya yang demokratik:
1. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak telus
NIEI mempersoal tujuan hari mengundi dibuat pada Hari Kerja iaitu pada hari Selasa 7 April yang lalu. Keputusan SPR ini dilihat sebagai tidak menggalakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi. Kebiasaannya, badan penggendali pilihanraya seperti SPR akan berusaha keras untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi tetapi ini tidak berlaku untuk pilihanraya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.
Keputusan SPR untuk meletakkan hari mengundi pada hari bekerja telah menyusahkan para pengundi terutamanya yang bekerja di luar daerah atau negeri untuk hadir pulang ke kampung halaman masing-masing.
NIEI juga tertanya-tanya mengapa SPR tidak mengira undi di pusat pembuangan undi di beberapa kawasan Batang Ai terlebih dahulu sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi seperti yang dilakukan di parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. Alasan untuk
mempercepat proses pengiraan tidak dapat diterima akal kerana pilihanraya di dua bukit ini melibatkan jumlah undi yang besar dan keputusan masih dapat diumumkan tepat pada masanya. Keengganan SPR membenarkan wakil-wakil calon ikut serta menaiki
helikopter menimbulkan keraguan tentang ketelusan dan keabsahan pilihanraya tersebut.
2. Polis memihak dan berat sebelah
NIEI melihat pasukan polis tidak bertindak adil dan ‘neutral’ dalam banyak kejadian yang memerlukan mereka berbuat demikian.
Misalnya, pihak polis lambat bertindak untuk menyelesaikan bantahan atau laporan pihak Pakatan Rakyat manakala dengan cepatnya bertindak menyelesaikan kes-kes yang berkaitan dengan kepentingan Barisan Nasional. Biarpun Ketua Polis Negara mengeluarkan larangan berkonvoi motosikal, namun dalam kempen Barisan Nasional tetap berbuat demikian, malah diringi oleh pasukan polis.
3. Penggunaan jentera kerajaan untuk kempen parti-parti memerintah
Dalam pertandingan pilihanraya, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat perlu telus dan tidak boleh menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen. Kerajaan adalah milik awam yang digerakkan kakitangan awam untuk kepentingan awam atas biaya wang awam,bukannya kepentingan parti yang memerintah.
Kementerian dan jabatan awam telah digunakan untuk berkempen, contohnya, dalam kempen bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad kemudahan, kakitangan dan jentera beberapa kementerian serta jabatan awam dikerahkan sepenuhnya untuk membantu kempen Barisan Nasional.
4. Media berat sebelah
Media arus perdana seperti stesen televisyen dan radio awam RTM serta swasta seperti TV3, surat khabar dan majalah memberikan laporan yang tidak seimbang, malah ada yang bertindak menjadi lidah rasmi kempen parti pemerintah kerajaan persekutuan.
5. Kejadian kekerasan seksual dan keganasan lainnya
NIEI prihatin dan mengambil berat terhadap kejadian pencabulan seksual yang dilakukan ahli Pemuda Umno terhadap anggota Serikandi Parti Keadilan Rakyat sewaktu berkempen. Hal ini menunjukkan kehadiran pasukan polis yang ramai gagal membawa keamanan dalam pilihanraya. NIEI juga menyeru agar parti-parti bertanding dan berkempen dengan cara yang lebih beretika lagi.
Maka dengan ini NIEI menuntut reformasi menyeluruh agar:
1) Suruhanjaya Pilihanraya bebas dan dilihat bebas daripada pengaruh mana-mana pihak
2) Polis bertindak professional dan tidak memihak.
3) Media perlu bebas dan memberi laporan seimbang kepada semua pihak yang bertanding.
4) Jentera kerajaan adalah milik awam dan tidak disalahgunakan dalam berkempen oleh parti-parti politik.
5) Pihak polis harus menyelesaikan dengan segera kes pencabulan seksual yang berlaku terhadap petugas Parti Keadilan Rakyat di Bukit Gantang dan tindakan yang sepatutnya dikenakan terhadap pelakunya agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
NIEI sedang menyiapkan laporan lengkap pemantauan pilihanraya kecil ini dalam jangkamasa yang terdekat dan akan dihebahkan kepada umum tidak lama lagi.
Amin Iskandar
Pengarah Eksekutif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan