NOOR ALLIA KASSIM
SHAH ALAM - Kerajaan negeri menafikan tidak pernah menghantar sebarang wakil untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor seperti didakwa sesetengah pihak.
Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sekurang-kurangnya 10 surat telah dihantar dalam tempoh itu dengan tujuh atau lapan sesi perbincangan diadakan dengan wakil daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
“Boleh jadi pihak kementerian tidak memberi maklumat yang secukupnya kepada menteri,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan kerajaan negeri tidak pernah menghantar wakil untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat.
Beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu keputusan daripada kabinet berhubung penstrukturan semula itu dan pihaknya sudah mengutus surat kepada menteri berkenaan meminta perbincangan antara kerajaan negeri, kerajaan pusat dan pemilik konsesi air diteruskan.
Abdul Khalid berkata kerajaan negeri berpendirian agar satu perbincangan bersama diadakan bagi mendapat persetujuan semua pihak seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mencadangkan kepada menteri, jika difikirkan perlu, perjanjian dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dihentikan memandangkan syarikat konsesi itu telah melanggar beberapa syarat dalam perjanjian konsesi.
“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan juga bersedia untuk membincangkan ataupun mengemukakan perkara ini untuk dibincangkan bersama.
“Jika tidak ada jalan lain, kerajaan negeri akan menjalankan usaha supaya keadilan akan dibuat di mahkamah. Tetapi itu adalah jalan terakhir, bukan idea yang pertama,” katanya yang berharap tarif air tidak dinaikkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan