Ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor berlangsung, penerbit Editor's Time dan Edisi Siasat ntv7, Joshua Wong telah mendedahkan insiden di mana isteri Perdana Menteri disyaki campur tangan dalam kebebasan media. Joshua Wong yang enggan tunduk akhirnya meletakkan jawatan untuk menyatakan pendiriannya. Beliau terkorban sebagai seorang pahlawan.
Dalam bidang kewartawanan di Malaysia, pengamal media yang setanding kemampuannya dengan Joshua Wong (gambar kanan) bukannya tiada, malah mungkin tidak kurang bilangannya. Namun, mereka yang memiliki etika media sepertinya, malah tetap berpegang kepada prinsip pada saat-saat yang mustahak, amatlah kurang.
Apa yang menyesalkan, Joshua Wong boleh meletak jawatan hanya sekali untuk menyatakan ketidakpuasannya terhadap stesen televisyen, malah mungkin seluruh mekanisme dan sistem kawalan terhadap kewartawanan.
Bidang kewartawanan mungkin boleh melahirkan beberapa orang lagi sepertinya, dengan perginya seorang Joshua Wong. Namun, semua orang sedar bahawa kalaulah beberapa orang lagi Joshua Wong dikorbankan sekalipun, ia gagal untuk menyedarkan majoriti yang mendiamkan diri, supaya tampil menggegarkan sistem ini.
Tahun demi tahun, seseorang wartawan junior diasah sehingga menjadi wartawan/editor senior, yang menganuti falsafah "jaga periuk nasi". Mungkin pembaca juga tertanya-tanya, mengapa fakulti media atau institusi media di negara ini gagal melahirkan wartawan dan editor yang tegas dengan prinsipnya?
Secara jujur, permintaan ini mungkin agak melampau. Sekali pandang, di semua bidang, berapa orang pula yang berani untuk bersuara lantang ketika berdepan dengan penguasa? Walaupun inilah hakikatnya, tetapi kita tetap menaruh harapan dan permintaan yang lebih terhadap pengamal media yang berada di garisan paling depan.
Apabila harapan ini menjadi kewajipan yang dipikul oleh pengamal media dengan sendirinya, maka ia menjadi maruah kepadanya, atau setidak-tidaknya sebahagian maruahnya ketika seseorang wartawan bekerja selama lapan jam sehari.
Jikalau wartawan melupai harapan ini, atau menyerah diri, malah mula memukau atau membohongi diri dengan faktor luaran seperti senioriti, status, anugerah kewartawanan, kadar hits bacaan artikel dan populariti apabila hadir di rancangan forum..., meyakini dirinya sebagai pengamal media yang "profesional". Maka, gejala-gejala yang aneh akan menjelma dalam masyarakat kita, termasuklah bersolek untuk tycoon yang memonopoli media, melahirkan setiausaha akhbar untuk PM, malah menyorok senjata kritikannya secara selektif, ketika berdepan dengan politikus "1Malaysia".
Kewujudan pengamal media
Apabila fenomena ini menular dengan berleluasa, maka keluhan "melesetnya media", "akhbar Cina kehilangan maruah" kedengaran. Malah, ada yang melontarkan cadangan radikal dalam blog saya untuk membakar akhbar arus perdana. Realiti yang memilukan adalah, walaupun akhbar arus perdana yang patut dibakar mungkin lebih tinggi dari Menara Petronas KLCC jika ditimbunkan, namun media arus perdana ini masih boleh memutar belitnya sebagai kebakaran sampah sarap. Ia memperlihatkan psikologi satu samseng, "So what? Laporan kami menyampah? Tapi pembaca suka!"
Bagaimanapun saya perlu tegaskan, sistem ekologi akhbar atau media sebegini, tidak boleh dan tidak akan menjadi sistem ekologi masyarakat yang lumrah buat selama-lamanya. Sekatan berita, membongsaikan diri dengan jaringan korporat besar, hanyalah ubat bius, atau kain untuk menutup kemaluan buat sementara.
Wartawan generasi baru, mahu atau tidak, perlu menerima cabaran dan pemantauan daripada masyarakat. Jadi, daripada menyorok diri dalam institusi media mega dan membanting tulang dalam ruang batas profesional yang dihadkan bos dan Kementerian Dalam Negeri, lebih baik seseorang wartawan mengoyak identiti "keberkecualian palsu" ini, menjadi seorang pengamal media yang benar-benar bertanggungjawab kepada kebenaran dan rakyat.
Apabila seseorang wartawan memilih untuk bersama kebenaran dan keadilan sosial, maka ia tidak terelak dari kesepian dan bersendirian apabila berpegang kepada prinsip. Tetapi setidak-tidaknya mereka menemui nilai kewujudan berita dan nilai hidup seorang wartawan. Pengamal media yang kekurangan nilai hidup ini, hanya tinggal reputasi yang kosong dan palsu.
Kita tidak menuntut secara berlebihan, malah tidak ingin kesemua wartawan yang beridealisme meneladani pengorbanan Joshua Wong, tetapi seseorang wartawan seharusnya bersuara semasa perlu, tampil ke depan bila patut, beri sokongan dan galakan ketika kita harus bersatu. Ini syarat kualiti minima untuk menjadi seorang insan oleh seseorang wartawan generasi baru.
Berperang dengan penindas
Barisan Nasional dan empayar media yang bersubahat dengannya telah menjadikan media arus perdana sebagai pentas memancung maruah dan pengebumian idealisme wartawan. Tetapi sebagai seorang wartawan yang masih merasai dirinya hidup, tidak boleh dan tidak boleh mengizinkan penyembelihan ini berlaku tanpa sebarang penentangan. Mulai hari ini, kita harus menjadikan pentas pemancungan ini sebagai medan peperangan.
Buku nota, perakam suara, kamera, keyboard dan internet, adalah senjata yang bersama kita sehingga titisan darah terakhir. Ayuh kita menggunakan peralatan yang wujud bersama-sama kita untuk memerangi penindas yang tidak adil, tidak saksama, dan tidak wajar!
Kita masih berada pada permulaan, dalam perjalanan kita mengharungi medan pertempuran untuk kebebasan media. Ada orang yang telah dijadikan habuk (dengan bangganya seperti Joshua Wong), ada pula yang sudah terpinggir dan dilupai (saya terkenang rakan seperjuangan saya ketika 28 Mei 2001, ketika pengambil-alihan Nanyang Holding oleh MCA), ada yang diseksa hingga mati (mungkin situasi saya sekarang). Ada yang mara ke depan dengan mengundur ke belakang, manahan segala pengaiban untuk mempertahankan setiap inci tanah suci dalam yang terhad di dalam sistem arus perdana ini.
Kita perlu bersikap matang untuk bertoleransi dengan pandangan yang berbeza, tak kira usia, bahasa dan bentuk media, supaya kita membuka lembaran sejarah baru dalam medan media yang semakin suram jikalau dilihat secara luaran.
Maafkan saya, kerana menggambarkan bidang kewartawanan dengan limpahan darah sebegitu rupa. Bukan untuk apa, hanya kerana wartawan perlu membiasakan mata diri dengan kegelapan. Cuma, kita perlu memperingatkan diri, jangan melemparkan pen dalam tangan kita walau betapa gelap sekalipun keadaannya.
Demi penyebaran infomasi, lontaran pandangan dan hujah, kita perlu melatih diri agar lebih peka, dan bukannya kaku dan melarikan diri dari realiti.
Kita ada dua pilihan, sama ada dengan kaku meninggalkan jiwa kita di pentas pancung yang disediakan oleh kerajaan dan tycoon, atau kita berperang habis-habisan. Walaupun gagal mematikan musuh, atau menangkis dengan badan yang rapuh semasa terkepung... biar kita memperlekehkan jiwa mereka, biar kita menghakis nilai hidup mereka!
"Yes, though I walk through the valley of the shadow of death, I will fear no evil."
Nota akhir: Artikel ini ditulis pada malam rancangan dokumentari Empangan Bakun ditarik dan dibatalkan. 【Baca: Satu lagi campur tangan BN dalam kebebasan media TV, penerbit TV2】
Ketika 10 ribu kawan orang asli berpindah meninggalkan kubur nenek moyang dan tanah mereka, ini kematian pertama untuk mereka. Berpindah ke tanah yang begitu terasing buat dirinya, terbingung dengan masa dengan depan yang kabur, mereka mati untuk kali kedua. Kali ini, saya merakamkan kesengsaraan mereka dengan kamera saya, tetapi dibatalkan penyiarannya oleh pengamal media yang tidak mempunyai jiwa dan roh. Sama ada untuk saya, mahupun orang asli, ini adalah hukuman mati.
*Chou Z Lam ialah penerbit TV2, untuk rancangan Galeri Mandarin Nasional. Beliau yang merupakan wartawan Nanyang Siang Pau semasa pengambil-alihan Nanyang Holding oleh MCA, meletakkan jawatan sebagai tanda protes. Chou Z Lam juga kolumnis di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Artikel ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan