HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Mei 2010

Istana Kelantan: Hishammuddin janjikan layanan terbaik


KOTA BARU — Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid malam ini berhubung isu layanan polis awal bulan ini dengan memberi jaminan akan menyediakan “layanan terbaik dan juga dengan tertib.”

Pertemuan Raja Perempuan dan Menteri Dalam Negeri berlangsung kira-kira dua jam di Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini.

Hishammuddin dilihat memasuki Istana Mahkota pukul 9 malam.

Bercakap kepada pemberita di pekarangan Istana Mahkota, Hishammuddin berkata, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk Sultan Kelantan.

“Ya... alhamdulillah, kita buat cara yang terbaik.

“Dengan kejujuran kita akan berikan perkhidmatan yang sepatutnya kepada raja yang kita sayangi.

“Alhamdulillah kita menghadap malam ini, saya tengok, kita boleh cuba memikir secara tertib, secara bijaksana, secara yang terbaik... terima kasih,” kata beliau ringkas.

Terdahulu ketibaan beliau di Istana Mahkota disambut Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud serta beberapa pegawai istana.

Difahamkan Hishammuddin memberi penjelasan kepada pihak istana berhubung dakwaan baginda telah dikasari pasukan keselamatan awal bulan ini.

Raja Perempuan sebelum ini mendakwa telah dilayan seperti “lembu” oleh anggota polis ketika kenderaan baginda ditahan di luar Istana Mahkota semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang bersama Sultan Kelantan dan Tengku Temenggong.

Rabu lalu, kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra meminta Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan Raja Perempuan Kelantan bahawa baginda dikasari polis.

Ini berikutan laporan sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu yang memetik sumber Istana Mahkota bahawa Tengku Anis dikasari anggota polis di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini pada 4 Mei lalu ketika Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM untuk rawatan susulan masalah jantung.

Tengku Merjan berkata pendedahan gambar kecederaan Raja Perempuan Kelantan yang disiarkan akhbar perlu dijelaskan oleh polis untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

Sultan Kelantan dibawa pulang ke Istana Mahkota 9 Mei lalu setelah menjalani rawatan susulan lima hari di HUSM dan diletakkan di bawah pengawasan 10 doktor panel.

Sebelum ini Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Amir Hamzah Ibrahim menafikan dakwaan laporan akhbar berkenaan bahawa Tengku Anis dikasari polis.

Tiada ulasan: