KUALA LUMPUR— Datuk Seri S. Samy Vellu, presiden paling lama menerajui parti itu akan mengosongkan jawatannya pada suku ketiga tahun depan.
Pemimpin veteran itu memutuskan untuk melepaskan kedudukannya sama ada Ogos ataupun September 2011.
Samy Vellu berkata, beliau sudah memutuskan untuk meletak jawatan itu lapan hingga sembilan bulan sebelum mandat penggal semasa yang akan berakhir pada 21 Mei 2012.
Bercakap kepada The Malaysian Insider hari ini, beliau memberitahu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah pun dimaklumkan mengenai keputusannya itu.
"Saya sudah memberitahu perdana menteri dan sekarang saya memberitahu anda," kata beliau lagi.
"(Selepas itu) saya tidak akan berada (di jawatan ini) lebih dari sehari pun," kata beliau yang menjadi Presiden MIC sejak 1979.
Kini merupakan penggal ke-11 beliau mengetuai parti itu.
Beliau memberitahu tarikh peralihan kuasa ini ketika timbul pelbagai spekulasi bahawa akan meninggalkan jawatannya bulan ini.
Malah ada yang menyebut beliau akan berbuat demikian Julai ini.
Bermakna beliau akan berbuat demikian menjelang Julai 2011.
Tidak ketinggalan juga ada yang mendakwa Samy Vellu akan kekal sehingga mandatnya berakhir 2012.
Ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu Samy Vellu berkata, beliau akan menyerahkan jawatannya dalam tempoh 14 bulan.
Ia dilihat sebagai salah satu kompromi dibuat dengan Najib, kepimpinan Barisan Nasional menjelang pilihan raya kecil itu.
Ketika ditemui wartawan minggu lalu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Samy Vellu enggan mengulas isu tersebut.
"Tiada komen," katanya.
Meskipun Samy Vellu mengumumkan pelan peralihan kuasa, puak yang menentang kepimpinannya mahu beliau segera meninggalkan jawatan itu.
Mengulas lanjut pelan peralihan kuasa, Samy Vellu berkata, beliau mahu memantapkan parti dan mahu memastikan kesemua cawangan MIC berada dalam kedudukan aktif sebelum meninggalkan MIC.
Sumber-sumber MIC memberitahu Samy Vellu akan menggunakan tempoh kira-kira 14 bulan yang tinggal ini untuk menyusun semula parti dan memastikan beliau mengawalnya di sebalik tabir.
Malah sumber juga memberitahu, walaupun Samy Vellu mengumumkan pelan peralihan kuasa hari ini, timbalannya Datuk G. Palanivel belum tentu boleh mengambil alih jawatan presiden dengan mudah.
Salah seorang Naib Presiden Datuk Dr S Subramaniam dilihat akan memberikan saingan sengit kepada Palanivel dalam proses peralihan kuasa nanti.
Difahamkan Umno juga ingin melihat Menteri Sumber Manusia itu untuk menjadi Presiden MIC menggantikan Samy Vellu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan