KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan negara-negara Islam mewujudkan model baru ekonomi bagi memenuhi keperluan penduduk Islam di seluruh dunia.
Bagaimanapun, katanya ia memerlukan sokongan dari Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) sebelum menjadi kenyataan.
"Sudah tiba masanya model baru ekonomi dibentuk untuk memastikan masa depan ekonomi negara Islam lebih terjamin.
"Kita telah melepasi krisis ekonomi dan kita perlu bangun untuk pembangunan jangka panjang. Negara-negara Islam telah menunjukkan komitmen proaktif dalam mengharungi cabaran dan bekerjasama untuk masa depan yang lebih teguh," katanya ketika melancarkan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) keenam di Kuala Lumpur semalam.
Najib berkata, berlaku ketidakseimbangan pendapatan di kalangan negara-negara Islam yang mengakibatkan penduduk Islam terperangkap dalam kemiskinan tegar, buta huruf, kekurangan khasiat permakanan serta jurang begitu besar antara golongan kaya dan miskin.
Dua puluh negara OIC, kata perdana menteri menyumbang 90 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertubuhan itu yang berjumlah AS4.5 trilion dan baki 37 negara hanya sebanyak 10 peratus.
Sementara itu, Malaysia sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang perbankan di kalangan negara-negara Islam.
"Malaysia telah mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam membangunkan perbankan Islam selain berjaya mengekalkan perbankan konvensional.
"Kita perlu mempromosikan Islam kerana ia adalah teras kepada masa depan negara-negara Islam," katanya
Bernama pula melaporkan lima perjanjian bernilai lebih AS$100 juta (AS$1=RM3.21), dimeterai semalam selepas pembukaan forum itu oleh Najib.
Perjanjian pertama membabitkan usaha sama strategik bagi pengedaran produk pelaburan Islam membabitkan Asian Finance Bank, European Finance House dan PT Bank Muamalat Indonesia TBK, bernilai AS$30 juta.
Perjanjian itu dijangka memulakan, menggalakkan dan membangunkan produk-produk pelaburan Islam, dimulakan dengan dana mudah tunai Islam, dana sukuk global dan nota berstruktur berlandaskan syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan