KUALA LUMPUR: Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencecah RM500 bilion menjelang penghujung tahun 2013, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Shahril Ridza Ridzuan.
Beliau berkata dana pelaburan dalam suku tahun pertama tahun ini berjumlah RM385 bilion berbanding hanya RM9 bilion pada tahun 1980. KWSP mempunyai RM370 bilion dalam tabungnya.
"Kami mencatat pertumbuhan purata tahunan (compounded) 8% sekarang ini dan dijangka pelaburan kami mencapai RM500 bilion pada 2013," katanya pada taklimat media dan pelancaran media mengenai prinsip urustadbir korporat KWSP dan garispanduan mengundi di sini semalam.
Beliau juga berkata, KWSP kini sedang menilai dan mengetatkan garispanduan melibatkan pelaburan dalam saham amanah bertujuan untuk melindungi wang persaraan para pencarum.
Buat masa ini katanya, terdapat sebanyak 300 dana saham amanah yang diuruskan oleh 37 pengurus yang diluluskan oleh skim KWSP.
Shahril berkata, "pada 2009, sejumlah 427,455 permohonan bernilai RM3.31 bilion telah diluluskan bagi pengeluaran untuk tujuan pelaburan dalam saham amanah."
Pengurus Besar Jabatan Analisa Prestasi dan Kualitatif KWSP, Badrul Hisham Dahalan berkata, buat pertama kali dalam tempuh tiga bulan tahun ini, secara purata sebanyak RM2.18 bilion telah dikeluarkan dari purata RM3.35 bilion jumlah caruman yang diterima
setiap bulan.
Kebanyakan pengeluaran digunakan untuk tujuan persaraan dan perumahan, diikuti dengan perubatan, pelajaran dan pelaburan dalam saham amanah, katanya.
Dalam perkembangan yang lain, Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang dilancarkan pada 3 Januari lalu untuk membantu mereka yang bekerja sendiri supaya mempunyai pendapatan yang mencukupi ketika bersara telah menarik seramai 12,199 ahli dengan jumlah sumbangan bernilai RM8.14 juta setakat bulan April.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, para penyumbang terdiri daripada mereka dari berbagai peringkat umur yang menceburi dalam berbagai bidang seperti pertanian, perniagaan kecil, perikanan, pengangkutan, jualan langsung dan hiburan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan