HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Mei 2010

NGO gesa badan bebas siasat kerugian

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Kerugian RM1.63 bilion yang dialami oleh Sime Darby Bhd. - sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) - mengejutkan pelbagai pihak yang seterusnya menggesa siasatan dibuat oleh sebuah badan bebas.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kerugian yang dianggap luar biasa itu.

Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas (gambar) berkata, sebagai sebuah konglomerat penting dan majikan kepada ribuan pekerja, Sime Darby sepatutnya menjadi syarikat contoh yang diurus tadbir dengan sistem terbaik.

"Kerugian sebanyak itu membuktikan banyak perkara yang tidak kena telah berlaku dan mengikut undang-undang, semua ahli lembaga pengarah kumpulan dan anak-anak syarikat berkaitan perlu dipertanggungjawabkan.

"Konsultan bebas dalam bidang perakaunan perlu dilantik dan saya difahamkan sebuah firma pakar telah menjalankan siasatan dan diharap keputusan siasatan itu diumumkan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Najmuddin mengulas pengumuman Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam terhadap kerugian RM1.63 bilion yang dialami GLC itu dan seterusnya meminta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid bercuti.

Kata Najmuddin, rakyat termasuk pemegang saham dan pihak berkepentingan ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada Sime Darby, syarikat yang dikuasai Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pula berkata, kerugian itu perlu dipertanggungjawabkan bukan sahaja kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby malah semua ahli lembaga pengarah termasuk pengerusi yang mesti meletakkan jawatan.

Ibrahim berkata, Perkasa yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membiarkan perkara itu diselesaikan sekadar peletakan jawatan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby itu sahaja.

Ujarnya, Perkasa amat terkejut dengan kerugian Sime Darby dan keadaan itu memalukan golongan korporat dan komuniti Melayu negara ini.

Beliau menggesa satu jawatankuasa khas bebas ditubuhkan untuk menyiasat kerugian Sime Darby yang didakwanya mungkin mencecah RM4 bilion.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Shaani Abdullah berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) sepatutnya mengawal selia kepentingan pelabur dalam Sime Darby.

"Dalam kes Sime Darby ini, SC perlu memberi penjelasan kepada Kementerian Kewangan mengenai kelewatan projek dan kerugian yang dialami GLC itu sejak beberapa tahun lalu," ujarnya.

Kedudukan sebenar sesebuah syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia itu katanya, perlu digambarkan dengan jelas kepada pihak pelabur dan pemegang saham.

Tiada ulasan: