HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Mei 2010

Peguam bukan Islam berusaha jadi peguam syarie di WP

BERNAMA

KUALA LUMPUR i - Seorang wanita yang bukan beragama Islam hari ini memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di sini dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan (WP).

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.

Hakim Mohd. Zawawi membuat keputusan itu di kamar beliau selepas menolak bantahan awal MAIWP.

Victoria, 48, diberi tempoh 14 hari untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut. Tarikh bagi pendengaran kes itu masih belum ditetapkan.

Ini adalah kes pertama di ibu negara apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam yang beragama Islam boleh bekerja sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, keperluan utama bagi seorang peguam syarie ialah seseorang itu harus seorang Islam.

Victoria yang memperoleh Diploma dalam Undang-Undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie.

Pemohon berkata, melalui sepucuk surat bertarikh 6 April 2006, beliau menghantar permohonan tetapi MAIWP memaklumkan beliau bahawa permohonannya sedang diproses.

Selepas lebih tiga tahun, tiada jawapan daripada MAIWP berhubung permohonannya.

Katanya, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Ogos 2009 beliau memohon semula sebagai peguam syarie tetapi MAIWP menerusi jawatankuasa peguam syarie melalui sepucuk surat bertarikh 9 September 2009 menolak permohonannya atas alasan bahawa beliau bukan Islam.

Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran pada 23 Oktober tahun lalu yang antara lain menuntut perintah untuk membatalkan keputusan MAIWP kerana menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Victoria juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Kaedah 10 daripada Rukun Peguam Syarie 1993 yang memberi mandat bahawa orang Islam sahaja boleh diterima sebagai peguam syarie adalah ultra vires (melampaui batasan undang-undang) kepada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Beliau juga menuntut satu pengisytiharan bahawa di bawah kaedah yang sama, yang memberi mandat bahawa hanya orang Islam diterima sebagai peguam syarie, adalah bertentangan dengan Artikel 8(1), 8(2), 5 dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin dari Pejabat Peguam Negara mewakili MAIWP.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Victoria yang gembira dengan keputusan hari ini berkata, beliau mahu menjadi seorang peguam syarie demi kepentingan keadilan.

Peguamnya, Ranjit Singh memberitahu pemberita bahawa hakim menolak hujahan MAIWP bahawa hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan anak guamnya berhubung permohonan menjadi peguam syarie.

Katanya, beliau memaklumkan hakim bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menangani perkara itu.

Ranjit berkata, hakim juga menolak hujahan MAIWP bahawa jika Victoria tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Agama, beliau boleh membuat rayuan dengan majlis itu.

Tiada ulasan: