HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 November 2010

1,560 rakyat Malaysia ditahan di luar negara

FREE MALAYSIA TODAY

kohilanKUALA LUMPUR: Seramai 1,560 rakyat Malaysia ditahan di luar negara sejak 1991 termasuk 315 yang ditahan tahun ini kerana pelbagai kesalahan, Dewan Rakyat diberitahu Isnin.

Timbalan Menteri Luar A Kohilan Pillay berkata 785 daripada mereka termasuk 149 wanita didakwa terbabit dengan penyeludupan dadah dengan dijadikan sebagai ‘keldai dadah’.

"Wanita terbabit terjerumus menjadi keldai dadah disebabkan terpedaya dengan sindiket yang menjanjikan upah lumayan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).

Kohilan Pillay berkata, kerajaan sememangnya memandang serius terhadap masalah rakyat negara ini yang dijadikan ‘keldai dadah’, malahan Kementerian Luar telah menjalankan pelbagai kempen kesedaran secara berterusan menerusi media massa untuk memberi peringatan mengenai perkara itu.

Beliau berkata kementerian turut menjalin kerjasama dengan Pemadam, polis, Kementerian Pengajian Tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk merangka program kesedaran mengenai masalah itu.

Dalam menangani kes rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara kerana kesalahan dadah, Kohilan Pillay berkata Malaysia perlu menghormati undang-undang negara berkenaan yang menahan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan sentiasa memberi bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara dengan berusaha memastikan hak-hak asasi rakyat negara ini dilindungi sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang tempatan negara berkenaan dan juga undang-undang antarabangsa.

Mengenai seorang rakyat Malaysia, Yong Vui Kong, yang didapati bersalah mengedar dadah di Singapura dan telah dijatuhi hukuman mati, Kohilan Pillay berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman telah menyerahkan surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura, George Yeo pada 20 Julai lalu ketika Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN di Hanoi memohon agar hukuman itu dapat diringankan atas dasar kemanusiaan.

"Pada 30 Julai, Menteri Luar Singapura telah menjawab permohonan kerajaan Malaysia dengan menyatakan kerajaan Singapura akan mengambil kira semua faktor serta dokumen sokongan, sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kes itu," katanya.

Yong, 22, dijatuhi hukuman mati pada 7 Jan tahun lepas setelah disabitkan kesalahan mengedar 47gm dadah pada 13 Jun, 2007.

Mengenai kes seorang pelajar politeknik dari Sabah, Christina Luke Niju yang ditahan di Lapangan Terbang Meilan, China, kerana disyaki menyeludup dadah, beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa di China.

Menurutnya, kementerian berpendapat adalah tidak wajar pada masa ini untuk mencampuri urusan undang-undang tempatan China melainkan memastikan proses siasatan itu dijalankan dengan telus dan adil.

"Pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, China, telah melawat Christina di Pusat Tahanan Haikou pada 6 Ogos lalu untuk memastikan kebajikan, kesihatan dan hak-hak asasi beliau terpelihara," katanya seperti dilapur Bernama.

Tiada ulasan: