HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 September 2011

Bukit Kepong: Karpal mahu Mat Sabu tarik balik kenyataan


GEORGE TOWN - Pengerusi DAP Karpal Singh mahu rakan pemimpin parti pakatan Mohamad Sabu, menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Pemimpin DAP itu berkata rentetan peristiwa Bukit Kepong itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah telah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.

"Menyentuh tentang satu isu sensitif yang berusia lebih 61 tahun selepas ia berlaku adalah tidak adil dan saya fikir beliau (Mohamad Sabu) perlu secara serius mempertimbangkan untuk menarik balik kenyataannya memandangkan penerimaan negatif pelbagai pihak terhadapnya," kata Karpal Singh.

Mohamad Sabu, yang juga Timbalan Presiden PAS, semasa berceramah di Tasek Gelugor di sini pada 21 Ogos lepas didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Karpal Singh berkata Mohamad Sabu, atau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sepatutnya segera bertindak meredakan keadaan dan menenangkan perasaan anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

"Saya bukannya anti-PAS dan saya juga tidak anti-Sabu, tetapi saya tidak bersetuju dengan kenyataan beliau dalam perkara ini," katanya.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata kenyatan Mat Sabu tidak wajar dan ia boleh menjejaskan parti pakatan.

"Beliau seharusnya menarik balik kenyataan kerana saya tidak nampak mengapa beliau tidak harus melakukannya. Saya tidak fikir apa yang beliau katakan itu mempunyai penghuraian positif bagi pakatan; ia negatif," kata Karpal Singh.

Mat Sabu yang kemudiannya menjelaskan tentang kenyataannya berkata mereka yang menyerang Bukit Kepong adalah hero kerana mereka pejuang kebebasan, dan bukan kerana mereka menyerang anggota polis Melayu.

- Bernama

Tiada ulasan: