HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 September 2011

Nasib pengawal keselamatan tidak terbela

FREE MALAYSIA TODAY

Mereka terpaksa bekerja 30 hari sebulan dan 12 jam sehari untuk mendapatkan gaji RM1,200 sebulan.



PETALING JAYA: Rata-rata hidup pengawal keselamatan dihimpit kemiskinan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Gaji minima RM1,200 sebulan yang diwar-warkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam pertengahan tahun lalu sehingga ini tidak dinikmati oleh pegawal keselamatan.

Mereka terpaksa bekerja 30 hari sebulan tanpa cuti dan 12 jam sehari untuk mendapatkan gaji RM1,200 sebulan.

Seorang pengawal keselamatan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang ditemui berkata, gaji pokok pengawal keselamatan tempatnya bekerja ialah RM355 sebulan untuk kerja lapan jam sehari dan 26 hari sebulan.

“Gaji minima untuk kami (pengawal keselamatan) belum ada lagi. Bos kata mereka dapat kontrak lama iaitu tahun lalu.

“Kalau dapat kontrak baru baru dapat tender baru tetapi sehingga hari ini tidak dengar lagi perkembangan terbaru,” kata Rahim Ahmad Ali, 46 tahun.

Rakannya yang mahu dikenali sebagai Abang Zul menambah, bekerja sebagai pengawal keselamatan memang perit kerana masa kerjanya yang panjang tetapi juga gaji yang diterima kecil.

Kerja 12 jam

Beliau berkata, syarikat membayar gaji kecil tetapi masa kerjanya lama iaitu 12 jam.

“Ramai yang tidak sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana tidak sepadan dengan gaji, kalau bekerja pun untuk sebulan dua saja.

“Kalau saya muda, saya tidak kerja ini. Tetapi apa boleh buat umur sudah 60 tahun,” katanya yang berasal dari Perak.

Seorang agen pembekal pekerja memberitahu sangat susah untuk mendapatkan orang muda yang mahu menjadi pengawal tempatan.

Menurutnya, mereka memberi pelbagai alasan terutama gaji yang murah dan masa bekerja yang lama.

“Saya sudah menemui banyak orang tetapi semuanya tidak mahu bekerja. Pengalaman saya ada pengawal keselamatan yang baru beberapa hari bekerja sudah lari,” katanya.-Pic from internet

Tiada ulasan: