HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 September 2011

Parlimen Titiwangsa milik siapa?

Bagaimana peluang PAS kali ini? Mungkinkah Umno merampas semula Titiwangsa?



Parlimen Titiwangsa

Keluasan: 1,494 km persegi
Jumlah pengundi: 52, 017 orang
Wakil rakyat 2008: Dr Lo’Lo’ Ghazali (meninggal 16 Julai 2011)
Wakil rakyat 2004: Datuk Astaman Aziz


PETALING JAYA: Parlimen Titiwangsa merupakan satu kawasan yang unik dan menarik. Unik kerana nadi kekuatan parlimen ini adalah Kampung Baru, kampung tradisi Melayu yang penuh kontroversi dan sensasi.

Pihak yang menguasai Kampung Baru akan menguasai Parlimen Titiwangsa. PAS dan Umno saling memanipulasi isu tersebut untuk kepentingan politik masing-masing. Ini yang dilakukan oleh kedua-dua parti politik orang Melayu sejak berpuluh tahun lalu.

Parlimen Titiwangsa yang menjadi kubu kuat Umno sekian lama kini menjadi benteng pembangkang khususnya PAS di Kuala Lumpur.

Dr Lo’Lo’ Ghazali menang besar dengan mengalahkan Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan majoriti 1,972 undi. Beliau bagaimanapun, meninggal dunia 16 Julai lalu akibat kanser.

Bagaimana peluang PAS kali ini? Mungkinkah Umno merampas semula Titiwangsa?

Pemangku Ketua Umno Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang disebut-sebut bakal bertanding di kerusi tersebut dalam pilihan raya akan datang enggan mengulas kemungkinan tersebut.

Rampas kerusi

“Oleh kerana kita kalah dan mahu merampas kerusi, kita tidak boleh mendedahkan strategi kepada orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen BN Titiwangsa, Datuk Astaman Aziz berkata, sama ada BN akan menang dalam pilihan raya umum ke 13 bergantung kepada calon BN sendiri.

Tetapi menurutnya, calon yang berwibawa sekalipun bukan mudah kerana banyak hati yang perlu dijaga.

“Penyokong Umno juga berpecah kepada beberapa kumpulan termasuk kepada bekas ketua bahagian yang tidak aktif tetapi masih mempunyai pengaruh.

“Maknanya calon sahaja tidak cukup,” tegasnya. “Mesti ada sokongan penuh dari pemimpin sedia da dan bekas Umno bahagian.”

PAS Titiwangsa pula yakin rekod cemerlang perkhidmatan Dr Lo’Lo selama tiga tahun menjadi ahli Parlimen akan membolehkan PAS menang lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

PAS dan BN

Katanya, banyak perbezaan berlaku semasa Titiwangsa di bawah wakil rakyat PAS dan BN.

Beliau menambah, kemelut politik dalaman baik di peringkat pusat mahu pun di bahagian Titiwangsa akan memberi kelebihan kepada PAS.

“Saya mensasarkan jumlah majoriti akan meningkat kepada 5, 000 undi,” katanya yang tidak mahu namanya didedahkan.

Penganalisis politik tempatan, Datuk Zainal Kling berkata, Umno mempunyai peluang untuk merampas semula kerusi Titiwangsa dalam pilihan raya umum ke 13 kelak.

Katanya, Umno 2008 banyak berlaku masalah dalaman dan berada dalam kucar kacir kerana kepimpinan yang lemah.

“Tetapi sekarang Umno lebih baik daripada tahun 2008 itu. Keinginan mereka untuk menang (merampas semula) Titiwangsa sangat berkobar-kobar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiada ulasan: