KUANTAN : Gerakan Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas (SMSL) menggesa Putrajaya menyelesaikan isu loji pemprosesan nadir bumi sebelum RPU13.
Pengerusi SMSL, Tan Bun Teet berkata pandangan penduduk Kuantan hingga Kemaman yang terkesan dengan pembinaan loji tersebut harus diberi keutamaan.
"Tidak bermakna perkataan Merdeka itu sekiranya rakyat tidak dibenarkan menentukan nasib mereka, sebaliknya oleh syarikat-syarikat asing," tegas Tan dalam satu kenyataan hari ini.
SMSL berpendapat loji itu nanti akan memberi kesan keatas sektor pelancongan, sarang burung layang-layang, perikanan, perhotelan, makanan dan pelaburan di Kuantan dan Kemaman akibat pembuangan sisa radioaktif dan pencemaran.
Tambah Tan pakar-pakar yang dirujuk oleh semua pihak berkepentingan dalam hal ini tidak menerima kesan langsung dari pembinaan loji tersebut.
"Mereka tidak boleh membuat keputusan bagi pihak penduduk yang menetap di situ sejak turun-temurun. Begitu juga birokrat dan ahli politik yang duduk nun jauh," tambahnya.
SMSL berkata pihaknya akan menghantar delegasi ke Perth dan Fremantle di Australia pada 2 hingga 10 September depan bagi meraih sokongan masyarakat antarabangsa.
"Kami mendesak pendedahan semua perjanjian, rasmi dan tidak rasmi, antara kerajaan Pusat, kerajaan Negeri, dan Lynas. Kita berhak tahu berapa banyak pampasan yang perlu dibayar sekiranya projek itu dibatalkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan