HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 September 2011

Tiada Hudud Selagi Suasana Belum Kondusif

Oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM: Ahli parlimem PAS berpendirian hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan mana-mana pihak termasuk negeri Kelantan selagi suasana kondusif belum tercapai.

Ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata tumpuan kini harus menjurus kearah menukar kerajaan dan seterusnya membuka ruang diskusi bersama rakyat sekiranya hukum tersebut benar-benar ingin dilaksanakan.

"Kalau kita mahu bincang tentang Hudud ini maknanya mesti ada satu suasana yang kondusif untuk kita berjaya laksanakannya.

"Itu pun mesti melalui proses demokrasi, parlimen dan bila rakyat telah faham apa yang kita mahu buat mungkin satu referendum untuk dapatkan pandangan daripada rakyat," kata beliau ketika dihubungi Tv Selangor.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas isu percanggahan pendapat antara Musyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan kepimpinan DAP bersabit cadangan perlaksanaan hukum Hudud di negara ini.

Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam responnya menyatakan pendirian untuk tidak berkrompomi dengan cadangan menubuhkan negara Islam.

Sebaliknya menyeru agar parti Islam itu berpengang kepada komitmen negara berkebajikan seperti yang dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pula menyifatkan isu hukum Hudud yang ditimbulkan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed cuba untuk melaga-lagakan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu katanya, kerjasama dan persefahaman kukuh harus dikekalkan untuk membentuk Malaysia baru demi kepentingan seluruh rakyat.

Dalam pada itu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyeru kepimpinan gagasan itu memberi tumpuan terhadap aspek mengukuhkan permuafakatan dan dasar bersama berlandaskan manifesto Buku Jingga.

Jelas beliau sekiranya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lalai dan tunduk kepada propaganda Umno-Barisan Nasional (BN), maka ruang manipulasi untuk memecah-belahkan gabungan itu lebih luas.

"Saya merasakan dasar PR yang dimuatkan dalam program Buku Jingga belum diterangkan secara menyeluruh di seluruh negara jadi lebih baik pimpinan menumpukan usaha ke arah itu dan tidak melayani propaganda Umno-BN.

"Saya yakin kekuatan pimpinan PR akan dapat segera menyelesaikan perkara ini. Bagi saya ini bukan satu masalah tetapi permainan media yang dikuasai Umno," tambah Azmin.

Tiada ulasan: