AMK Selangor berkata dakwaan berat ini boleh memberi kesan besar kepada keselamatan negara dan masa depan rakyat Malaysia khususnya penduduk di Sabah.
PETALING JAYA: Pendedahan terbaru Wikileaks yang mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) mengarahkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengeluarkan 60,000 kad pengenalan palsu amat merisaukan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, dakwaan berat ini boleh memberi kesan besar kepada keselamatan negara dan masa depan rakyat Malaysia khususnya penduduk di Sabah.
“Masalah pendatang asing yang kemudiannya menjadi warga negara Malaysia di Sabah mengundang masalah sosial dan ekonomi yang besar di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, penduduk tempatan yang berdepan dengan masalah keselamatan akibat kadar jenayah yang tinggi dan masalah pendapatan terjejas akibat daripada lambakan pendatang asing ini mewujudkan persaingan serta merampas peluang penduduk tempatan.
Beliau menegaskan jika benar dakwaan yang dikeluarkan laman sesawang Wikileaks ini, adalah tidak mustahil pihak Umno-BN akan menggunakan lagi kaedah ini bagi mendepani Pilihan Raya Umum akan datang.
“Ia berkait rapat dengan pendedahan laman rasmi Perdana Menteri Bangladesh bahawa terdapat rakyatnya yang diberi kerakyatan Malaysia dengan syarat mengundi Umno-BN.
“Ini jelas merupakan satu pengkhianatan kepada negara dan bercanggah dengan Perlembagaan. Justeru AMK Selangor mendesak agar SPR memberi penjelasan tentang dakwaan ini,” jelas Saifullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan