| Aslani M, |
KOTA BHARU: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia membantah cara dan pendekatan dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguatkuasa Akta Orang Papa 1977 dengan penahanan individu-individu OKU.
Ahli Majlis pertubuhan itu, Mohamad Faizal Che Yusof berkata, golongan OKU penglihatan melakukan aktiviti menjaja yang didakwa sebagai pengemis telah disalah tanggap melalui kempen dan penguatkuasaan akta berkenaan.
“Saya berharap semua pihak termasuk JKM, pihak swasta dan seluruh masyarakat benar-benar faham apa yang dinyatakan dalam muqadimah Akta Orang Kurang Upaya 2008,” katanya di sini.
Semalam JKM dilaporkan menahan individu-individu OKU cacat penglihatan di Kuala Lumpur dalam satu operasi membasmi kegiatan pengemisan.
Mohamad Faizal yang juga seorang peguam bagaimanapun berkata, beliau menyokong langkah kerajaan membasmi kegiatan pengemisan sebenar yang begitu berleluasa dalam kalangan pendatang-pendatang asing.
Katanya, peruntukan Akta Orang Papa 1977 tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya terhadap OKU terutamanya yang cacat penglihatan.
Kata beliau sepatutnya OKU diiktiraf sumbangan mereka dan potensi yang bernilai kepada kesejahteraan serta kepelbagaian komuniti.
Selain itu OKU berhak kepada peluang dan perlindungan serta bantuan sama rata dalam segala hal tanpa tertakluk kepada apa-apa batasan sebagaimana diperuntukkan Akta 685 Perlembagaan Persekutuan.
Mohamad Faizal berkata, Seksyen 29 menyebut OKU hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada pekerjaan atas asas kesetaraan dengan orang upaya.
Oleh itu beliau berharap suatu jaminan untuk OKU penglihatan yang menjalani aktiviti penjaja secara bebas dan perlu diberi peluang pekerjaan atau perniagaan yang mampu menyara kehidupan seharian.
“Suatu perancangan pembangunan OKU yang lebih menyeluruh hendaklah dilaksanakan.
“Telah tiba masanya pembangunan OKU diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya program yang dirancang tidak terputus dan salin melengkapi,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan