HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Ogos 2012

Selangor sedia kos guaman Rafizi

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan membiayai kos guaman bagi membantu Rafizi Ramli menjalani proses mahkamah berikutan penahanannya hari ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
“Kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk menolong membiayai kos guaman saudara Rafizi Ramli,” katanya dalam twitternya pagi ini.

Beliau turut menyelar penahanan itu berikutan pendedahan Rafizi membongkar butiran penyelewengan perbankan NFC dan skandal projek LRT Ampang.

“Kerajaan negeri mengecam penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar kes penyelewengan NFC & George Kent,” katanya.

Rafizi yang menjadi tumpuan dalam isu NFCorporation, syarikat yang dikaitkan dengan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Rafizi juga difahamkan Johari Muhamad turut ditahan polis dan dijangka turut dihadapkan di mahkamah yang sama.

Johari – bekas kerani Public Bank dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

NFC dikendalikan suami dan anak kepada Shahrizat yang menyalah guna peruntukan RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot.

Dalam perkembangan berkaitan, Syarikat Prasarana Negara Bhd semalam secara rasmi mengumumkan kontrak untuk projek sambungan LRT Ampang dianugerahkan kepada syarikat kerjasama George Kent-Lion Pasific Venture (JV).

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan, Konsortium George Kent yang dianugerahkan tender untuk projek penyambungan LRT Ampang tidak mempunyai kemampuan dari segi teknikal dan kewangan untuk menyelenggara projek itu.

Rafizi mendapati, Surat Syarikat Prasana Negara Berhad kepada kerajaan menyatakan konsortium itu menerima penilaian rendah berbanding pembida lain dengan hanya mendapat markah teknikal sebanyak 38.62 daripada 70 peratus dan markah kewangan 8.7 daripada 30 peratus.

Berdasarkan dokumen ini, kata Rafizi, terbukti George Kent tidak memiliki kepakaran dan pengalaman yang melayakkannya mendapat tender ini, kecuali hubungan baik dengan Najib Razak.

Setakat ini, Perdana Menteri tidak menafikan dakwaan itu dan hanya mengatakan kontrak diberikan mengikut prosedur.

Bagaimanapun, pada 27 Jun lalu, empat pegawai SUruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan Rafizi beberapa jam selepas beliau mendedahkan perkara itu.

Tiada ulasan: