SINAR HARIAN
SHAH ALAM - Sekumpulan bekas peneroka Felda Sungai Buaya, Rawang, dan
waris mereka hari ini menuntut kerajaan negeri Selangor memulangkan
tanah seluas 419.57 hektar milik mereka yang didakwa dirampas pada 2010
dan membatalkan prosiding perampasan terhadap tiga lagi keping tanah
seluas 451.62 hektar milik mereka di Mukim Serendah, Hulu Selangor.
Kira-kira 40 orang yang mewakili 362 bekas peneroka dan waris terbabit
berkumpul di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di
sini pada pukul 11.30 pagi dan memegang pelbagai kain rentang bagi
menyatakan tuntutan mereka terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim.
Mereka turut menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri menerusi wakil mereka Noryzal Zainal Abidin.
Berdasarkan memorandum itu, bekas peneroka terbabit mendakwa pada 1994
mereka telah menubuhkan satu syarikat dikenali sebagai Murna Jaya
Development Berhad (Murna Jaya) bagi menjual dan memajukan tanah mereka
secara usahasama dengan mana-mana pemaju yang berminat dan berkemampuan.
Seterusnya pada 1996, Murna Jaya telah mengikat perjanjian usahasama
dengan syarikat pemaju dikenali sebagai Bandar Sungai Buaya Sdn Bhd
(BSB) untuk memajukan keseluruhan tanah peneroka menjadi sebuah bandar
baharu di kawasan itu.
BSB kemudian telah membangunkan sebahagian daripada tanah peneroka
dengan mendirikan rumah kediaman dan blok kedai kira-kira 3,275 unit,
bagaimanapun sekitar 1998, BSB tidak dapat meneruskan projek itu dengan
lancar disebabkan kejatuhan ekonomi serantau sehingga akhirnya memaksa
BSB menghentikan terus kerja pembangunan di kawasan itu.
Ekoran itu, persetujuan telah dicapai di mana menjadi tanggungjawab BSB
untuk memulangkan kembali kira-kira 654.37 hektar tanah milik peneroka
dan sebahagian lagi tanah di Mukim Serendah, Hulu Selangor, sebagai
ganti rugi atas kegagalan BSB menyiapkan projek itu selaras dengan
perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 16 Mei 2005 yang
mengarahkan BSB berbuat demikian.
Kesemua tanah yang perlu dipulangkan kembali kepada Murna Jaya telah
didaftarkan atas nama BSB sebagai tuan punya berdaftar kecuali tanah di
Mukim Serendah.
Bagaimanapun disebabkan BSB menghadapi masalah kewangan yang serius
segala perancangan untuk memulangkan serta mendaftarkan semula tanah
tersebut atas nama Murna Jaya tidak dapat dilaksanakan disebabkan
kegagalan BSB menjelaskan cukai tanah yang telah tertunggak.
Akhirnya pada awal 2009, Murna Jaya telah menerima satu notis sebagai
tuan punya benefisial berhubung dengan kegagalan tuan punya (BSB)
menjelaskan cukai tanah yang tertunggak sebanyak RM8.22 juta.
Ekoran itu, Murna Jaya telah mengambil inisiatif untuk menyelamatkan
tanah tersebut seperti menghantar beberapa pucuk surat kepada pihak
kerajaan negeri untuk mengemukakan beberapa cadangan tetapi usaha itu
gagal dan pada 11 Ogos 2011 mereka menerima surat daripada Lembaga
Perumahan dan Hartanah Selangor memaklumkan bahawa lapan hakmilik tanah
mereka berkeluasan 419.57 hektar telah dirampas mengikut Akta Perampasan
Tanah.
Ketika ini kerajaan negeri juga telah memulakan prosiding bagi merampas
tiga lagi hakmilik tanah seluas 451.62 hektar di Mukim Serendah atas
alasan cukai tertunggak sebanyak RM3.5 juta.
Murna Jaya melalui peguam mereka iaitu Tetuan Wan Haron &
Associates telah menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia
bertarikh 26 Julai 2012 yang menyokong permohonan Murna Jaya untuk
penangguhan prosiding perampasan itu untuk jangkamasa enam bulan bagi
meneliti dokumen berkaitan tetapi sehingga kini Menteri Besar didakwa
masih belum membuat keputusan berhubung permasalahan itu.
Sehubungan itu peneroka terbabit menuntut kerajaan negeri menerima
cadangan Murna Jaya untuk menyelesaikan jumlah cukai tertunggak bagi
kesemua 2,152.8 hektar tanah yang telah dirampas termasuk tanah yang
terlibat dalam prosiding perampasan di Mukim Serendah secara
berperingkat seterusnya memulangkan kembali tanah berkenaan kepada Murna
Jaya untuk diteruskan pembangunan.
Mereka turut menuntut kerajaan negeri mempercepatkan dan menanggung
segala kos perbelanjaan untuk proses pecah tanah itu seterusnya
mengeluarkan geran berasingan kepada setiap pembeli atau pemilik rumah
atau tanah masing-masing selain menaik taraf kemudahan asas serta
melaksanakan projek pembangunan yang dijanjikan sebelum ini.
Sementara itu, wakil peneroka terbabit, Abu Hasan Mohd Sidek, 70, yang
telah menetap di sana sejak 40 tahun lepas merayu supaya kerajaan negeri
bertimbang rasa dengan menerima tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.
"Kami akan bayar tunggakan cukai tetapi secara berperingkat kerana kami
orang susah. Kami beri tempoh selama 14 hari untuk Menteri Besar
membuat keputusan terhadap tuntutan kami sebelum kami ambil tindakan
lebih drastik dan tegas selepas ini," katanya kepada pemberita di sini
hari ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan