KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kononnya 1.2 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan jika hukum hudud dilaksanakan bertujuan mengalih perhatian rakyat terhadap rasuah yang didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011.Sambil mengutuk kenyataan itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon berkata, Soi Lek masih tidak menyedari rakyat membenci isu rasuah dan bukannya hudud.
“Soi Lek banyak kali mempermainkan isu hudud demi politik sempit MCA tetapi memperlekehkan isu rasuah dan penyelewengan kerajaan Umno BN yang didedah dalam LKAN 2011,” katanya dalam kenyataan media.
Semalam, Soi Lek mendakwa 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.
Beliau yang pernah melepaskan jawatan sebagai Prsiden MCA ekoran terlibat dalam skandal seks menyenaraikan pelbagai industri yang akan terjejas termasuk rumah urut dan resort perjudian Genting Highlands.
Khai Loon berkata, kenyataan Soi Lek jika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat, semua premis arak, judi, kafe siber dan refleksologi akan ditutup bertentangan dakwaan MCA sebelum ini.
Katanya, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, MCA menuduh kerajaan Selangor banyak meluluskan lesen kafe siber dan rumah urut.
“AMK berpendapat Chua masih dalam keadaan berkhayal serta berilusi apabila sentiasa mengeluarkan kenyataan mengelirukan. Kenyataan beliau diibarat ‘meludah ke langit dan terpalit ke muka sendiri’,” sindirnya.
Khai Loon menegaskan PAS adalah sebuah parti politik yang demokratik, sederhana dan terbuka. Katanya, PAS bersama-sama KEADILAN dan DAP mendokong agenda reformasi bersama yang tertakluk dalam Buku JIngga.
“Perjuangan PAS untuk merealisasikan negara berkebajikan juga disokong oleh semua ahli parti dan rakyat Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan