| Yaakub Dasan, |
Hanya al Quran sahaja panduan bagi mereka. Mana-mana kempen yang selari dengan ajaran al Quran boleh menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ketika musim pilihan raya sekarang begitu banyak sekali kempen cuba mempengaruhi orang ramai terutamanya yang disampaikan melalui televisyen.
“Pendeknya terdapat pelbagai idea dan alasan kedua-dua belah pihak sekarang. Kita sendirilah yang terpaksa membuat kesimpulannya.
“Mujurlah kita ada Quran untuk membuat rujukan dan panduan,” katanya pada ceramah sempena sambutan 22 tahun PAS mentadbir Kelantan di Pohon Buloh, Meranti malam semalam.
Hadir sama anggota jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, Timbalan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Datuk Nasuruddin Daud dan Ketua Pemuda PAS kawasan, Zamakhsari Mohamad,
Nik Abduh berkata, kalau kita menonton televisyen sudah tentu didedahkan kempen kononnya hanya Umno dan kerajaan pusat sahaja yang baik dan pihak lain tidak baik.
Manakala kalau mendengar ceramah di pentas PAS dan Pakatan Rakyat maklumat lain pula diceritakan, yang mana tidak disebut dalam tv.
Oleh itu katanya ketika berdepan dengan suasana itu hanya al Quran dan Hadis serta ijmak ulama sahaja yang menjadi panduan kepada kita.
“Al Quran memberi petunjuk kepada kita bahawa dalam politik kita kena jaga hati orang ramai, mengikut lunas-lunas agama, bukannya hanya menjaga perut dan keluarga saja.
“Jangan jadi seperti Firaun yang mengaku Tuhan akhirnya dikejar ketakutan oleh mimpinya sendiri lalu memanggil ahli-ahli nujum untuk mentafsirkan mimpinya itu.
“Ahli nujum memberitahu akan lahir seorang anak-kanak lelaki dari kaum Bani Israel yang akan memusnahkan kerajaannya, maka dikeluarkan arahan kepada askar membunuh anak-anak yang baru lahir.
“Tapi dengan kekuasaan Allah Nabi Musa yang baru lahir ketika itu dilindungiNya, sehingga Firaun sendiri memeliharanya sebagai anak angkat dalam istananya sendiri,” ujar beliau.
Turut hadir pada ceramah itu anggota jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, Timbalan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Datuk Nasuruddin Daud dan ketua pemuda kawasan, Zamanshari Muhamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan