| Oleh Tok Perak |
Agaknya Ketua Pemuda Gerakan Kedah itu hendak menunjukkan dia hebat dan cuba menjadi hero dalam isu garis panduan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengenai pemasangan iklan yang akan dikuatkuasa awal tahun depan.
Antara lain garis panduan itu menuntut model – tidak kira lelaki atau perempuan – yang digunakan dalam papan iklan hendaklah bersopan santun dengan pakaian yang tidak mendedahkan aurat. Inilah yang tidak disetujui oleh Keng Liang.
Dalam Twitter, beliau mempersoal dan mempersenda arahan berpakaian sopan kepada model bukan Islam dan menutup aurat kepada model Islam. Beliau juga memfitnah Pas kononnya parti itu akan bertindak keras dan tegas terhadap golongan bukan Islam jika memenangi Putrajaya kelak.
Sebenarnya garis panduan MBAS itu bukan luar biasa dan bukan sesuatu yang sukar untuk dipatuhi. Peraturan model bersopan dan menutup aurat ini telah lama dilaksanakan di Kelantan dan semua pihak, termasuk syarikat multinasional, mematuhinya.
Untuk makluman Keng Liang, bersopan dan menutup aurat bukan publisiti murahan politik, sebaliknya adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Maka mempersenda peraturan seperti itu samalah seperti mempersenda Islam.
*BANYAK pihak berasa tersinggung dengan Twitter Keng Liang. Pemuda Pas Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung kenyataan yang bersifat fitnah dan hasutan dalam media sosial itu. Ketuanya, Kamaruzzaman Mohamad memandang serius perkara berkenaan.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Keng Liang yang disifatkan kurang ajar. Kata Penyelaras SAMM Pahang, Kamarul Hatta Mohamed Ali:
“Kami membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan Keng Liang kerana dia bukan sahaja menghina kepercayaan agama lain malah telah mengelirukan perkara sebenar tentang Islam.”
Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahaya mengajak rakannya dalam Gerakan itu berdialog agar apa yang terkeliru mengenai peraturan iklan itu dapat dijelaskan. Hukum Islam tidak boleh ditegur lebih-lebih lagi oleh orang bukan Islam.
Malah Umno, sekutu Gerakan dalam BN pun berasa tidak senang dengan keterlanjuran tersebut. Naib Ketua Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat menganggap kenyataan Keng Liang itu sebagai tidak tepat.
Katanya: “Pemimpin Umno tidak pernah menyentuh apa-apa isu apa lagi mempertikai sesuatu perkara mengenai agama lain. Jadi mengapa orang bukan Islam mahu sentuh hal orang Islam?”
Sekiranya pemimpin Gerakan itu bijak dan menghormati sensitiviti umat Islam, khasnya orang Melayu, beliau patut memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat dalam Twitter itu. Semoga ini menjadi pengajaran kepada beliau bahawa hal-hal agama tidak boleh
dikomen ikut suka hati.
*SEBENARNYA orang bukan Islam sudah kerap menghujah hukum Islam. Bukan Keng Liang sahaja, sebelum ini pun ramai orang bukan Islam – termasuk pemimpin parti – memberi komen mengenai hukum Islam ikut sedap mulut.
Orang bukan Islam yang tidak tahu hudud pun sibuk berhujah mengenai hukum tersebut, macam mereka pula lebih bijak dari ulama. Orang kafir menghujah mengenai hukum Islam dan kita masih terus berlembut.
Ada banyak peraturan dan adat orang bukan Islam di negara ini yang tidak disenangi oleh orang Islam. Tetapi kerana menghormati dan faham sensitiviti, kita tidak kompelin apa lagi menghujah. Agaknya kita sudah terlalu banyak berlembut dan bertolak ansur, maka orang lain menganggap kita bodoh.
Kita tidak boleh diperbodoh lagi dan mesti berani bertindak untuk mempertahankan Islam. Itu kewajipan kita. Kalau terus lembik seperti sekarang, orang akan pijak kepala kita.
*AKHIR kalam, seperti yang dijangka, Nur Irisyafida Abdul Azim, bayi perempuan berusia lapan bulan yang dipercayai didera oleh kekasih ibunya, meninggal dunia setelah enam hari terlantar teruk di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor.
Alangkah menderitanya bayi tidak berdosa itu yang cedera teruk dengan keretakan di tempurung kepala, patah tangan kanan dan kaki kiri. Tidak syak lagi si pendera adalah lebih ganas daripada seekor binatang buas. Jangan biarkan binatang buas itu terlepas; umum mahu melihat dia dihukum!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan