KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak keperluan pembangkang menawarkan senarai kabinet bayangan bagi membolehkan rakyat menilai jenis kerajaan yang ditawarkan oleh pihaknya.
Setakat ini, beberapa pemimpin pembangkang hanya menyatakan bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika pembangkang berkuasa dan ini sudah mencukupi, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membayangkan di lobi Parlimen.
"Datuk Seri Najib (ada) umum siapa Menteri Besar Selangor? Dia umum siapa yang akan jadi Menteri Kewangan selepas dia menang? Tak ada. Kabinet Bayangan ini hanyalah amalan politik di United Kingdom dan Australia. Tidak di Amerika, tidak di Perancis dan tidak di Indonesia, tidak di Thailand," kata Anwar.
Penganalisis dan pemimpin politik sebelum ini berkata Pakatan Rakyat perlu menyediakan senarai Kabinet Bayangan jika mahu memperlihatkan permuafakatan dan kesanggupan berkongsi kuasa.
Kegagalan Pakatan berbuat demikian mengundang tuduhan bahawa PKR, PAS dan DAP lebih berminat untuk membolot kerusi terbanyak pada PRU akan datang demi menuntut jawatan-jawatan penting dalam Kabinet.
Setakat ini PKR juga gagal menyatakan sama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Pada sidang media itu, Anwar hanya berkata bahawa pemimpin kanan PKR-DAP-PAS bakal diangkat sebagai menteri dan timbalan kabinet sekiranya menang Pilihan Raya Umum.
Perdana Menteri semalam membayangkan bahawa ketiadaan persefahaman dalam Pakatan Rakyat mengakibatkan gabungan itu gagal menamakan kabinet bayangan.
"Jangan cakap bentuk kerajaan, bentuk kabinet bayangan dulu... tunjukkan itu adalah pasukan anda," kata Najib ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan