HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Oktober 2012

MB Selangor gesa pembangkang hentikan kelirukan rakyat


KUALA LUMPUR — Menteri Besar (MB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa pembangkang di negeri Selangor berhenti daripada terus memutar belit isu paras air di Empangan Sungai Selangor.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider, Abdul Khalid berkata dia berpuas hati dengan peningkatan takungan air di empangan tersebut yang meningkat kepada 55.43% iaitu sebanyak 127.49 juta meter padu setakat ini sekaligus membidas dakwaan seperti yang dilaporkan Utusan yang mengatakan takungan menyusut kira-kira 40% daripada jumlah 235 juta meter padu.

"Saya berpuashati dengan peningkatan takungan air di Empangan Sungai Selangor yang telah meningkat kepada 55.43% iaitu sebanyak 127.49 juta meter padu setakat hari ini," kata Abdul Khalid (gambar).

MB Selangor tersebut juga memuji pihak pegawai dan kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang bekerja keras dalam memantau status empangan untuk memastikan ia berada pada paras memuaskan dan mampu memenuhi keperluan pengguna.

"Kerajaan Selangor sedar dengan usaha-usaha pihak  tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan ketakutan kepada rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang kononnya bakal berdepan  krisis air ekoran penurunan paras air di empangan.
 "Saya mengesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan," tambah Abdul Khalid lagi.

Pembangkang di Selangor terutamanya Umno menerusi akhbar rasmi mereka Utusan sebelum ini menimbulkan kebimbangan paras air di empangan tersebut dan mengesyorkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dilihat sebagai jalan penyelesaian untuk mengelakkan daripada krisis air daripada berlaku.

Dalam laporan tersebut, Utusan mendakwa sekiranya berlaku krisis air di Selangor ia akan mengakibatkan bekalan sebanyak 60 peratus air yang telah diproses bagi keperluan penduduk Lembah Klang iaitu Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur serta 40 peratus kepada penduduk di kawasan Rawang akan terjejas teruk.

Abdul Khalid dalam kenyataannya juga menegaskan, segala usaha oleh pihak pembangkang di Selangor tidak akan menjejaskan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk untuk menyelesaikan penyusunan semula industri perkhidmatan air yang masih terbantut di samping  meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tiada ulasan: