PRU 13 pengaruh Dr M
SHAH ALAM – Pandangan yang disuarakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak beberapa tahun lalu dilihat berubah nada jika dibandingkan ketika era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kedua-dua Abdullah dan Najib penah berada dalam Kabinet era Dr Mahathir.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, respons positif Mahathir terhadap kepimpinan Najib itu memungkinkan, paling tidak pun, sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak berubah.
“Pengaruh Tun Dr Mahathir itu masih ada khususnya kepada penyokong dan ahli Umno.
“Kalau kita lihat 2008, komen-komen dan sentimen yang beliau bawakan memberi kesan negatif pada Pilihan Raya Umum 2008,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Dr Mahathir antara lain pernah dipetik berkata sebelum ini, kerana tidak menggemari corak pemerintahan Abdullah, Umno mula kehilangan ahli mereka.
Ibrahim juga berkata, Dr Mahathir selaku nekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, mengamalkan politik “menegur” terhadap kepimpinan Najib.
“Mahathir ini punya satu pandangan bagaimana sesuatu dasar harus dilaksanakan. Beliau melihat kerajaan sekarang berbeza dengan cara bagaimana beliau mengendalikan kerajaan dahulu,” katanya.
“Beliau pernah menyebut Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai politik wang. Itulah bagaimana kita melihat beliau berbeza pandangan dengan kerajaan sekarang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ibrahim turut mengulas kesan kemunculan kembali Dr Mahathir ini ke atas generasi muda.
Katanya, golongan muda ini memang mempunyai persepsi yang positif terhadap Dr Mahathir sebagai negarawan ulung.
Bagaimanapun, ia tidak menggambarkan pandangan secara keseluruhan mereka terhadap pemimpin tersebut.
“Mereka menghargai peranan dan sumbangan beliau sebagai bekas Perdana Menteri tetapi golongan muda ini, ada yang mereka tidak setuju tentang dasar-dasar kerajaan.
“Golongan muda sekarang lebih analitikal. Mereka tidak tolak kepimpinan Mahathir tetapi mereka juga turut didedahkan dengan berita-berita rasuah di media-media baru,” ujar beliau.
Ibrahim juga berpendapat, dakwaan bahawa Dr Mahathir ingin kembali memerintah sebagai tidak logik.
“Pandangan beliau sedikit sebanyak memang akan beri kesan (keputusan PRU). Tetapi orang tak akan lihat, beliau mahu mentadbir semula cuma lebih bersifat menegur,” katanya lagi.
Bermula 2008 sehingga 2012, Dr Mahathir memberikan pelbagai komen positif dan negatif terhadap pentadbiran Najib.
Bahkan beliau turut memuji sikap terbuka Najib memberi ruang kepadanya meluahkan pendapatan yang disekat ketika zaman Tun Abdullah dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan