KUALA LUMPUR : Pakar patologi forensik dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sedia menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang C Sugumar, menurut peguam keluarga, N Surendran.
“Dr Pornthip mesti diberi akses penuh kemudahan menjalankan bedah siasat kedua di hospital kerajaan dan dibenarkan menjalankan sendiri bedah siasat.
“Namun kami tidak membantah kehadiran pakar patologi kerajaan untuk melihat prosedur,” kata Surendran dalam kenyataannya hari ini.
Justeru, beliau mendesak Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan memberi kebenaran kepada Dr Pornthip.
“Kami mendesak Najib Razak dan pihak berkuasa memberi reaksi segera terhadap permohonan ini, kerana keluarga sehingga hari ini tidak dapat menjalankan upacara penghormatan terakhir sehingga bedah siasat kedua dibuat,” kata Surendran yang juga Naib Presiden KEADILAN.
Menurutnya, bedah siasat Hospital Serdang yang mengatakan Sugumar meninggal dunia akibat serangan jantung, bercanggah dengan keterangan saksi yang melihat mangsa dipukul hingga mati oleh polis.
“Keluarga mangsa berhak menjalankan bedah sisat kedua bagi menentukan punca sebenar kematian Sugumar,” katanya.
Dr Pornthip Rojanasunan sebelum ini turut menjalankan bedah siasat ke atas Teoh Beng Hock yang jatuh dari tingkat 14 ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pakar patologi forensik berpengalaman itu merupakan Pengarah Institut Sains Forensik Pusat di Kementerian Keadilan Bangkok, Thailand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan