Harakahdaily, |
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah berkata, konsep pangsapuri ‘transit’ di Ladang Gemilang bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Menurutnya, pihak Amanah dengan wakil Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) pada 27Januari lalu telah mengadakan pertemuan dengan SUK (gambar atas) untuk cuba membantu penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang yang dalam keadaan susah membayar sewa mereka dan tidak tahu masa depan mereka selepas tamat perjanjian sewa mereka pada Oktober 2013.
Katanya, pada pertemuan tersebut Mazlan telah menyatakan pangsapuri tersebut bukan merupakan pangsapuri ‘transit’ dan ia merupakan rumah kos sederhana.
“Itu adalah di antara perkara-perkara yang dibincang bersama,” ujarnya dalam satu kenyatan yang dikeluarkan di sini.
Pada 28 Januari, sebuah rencana akhbar Berita Harian menyiarkan kenyataan seorang Pegawai Pembangunan Dun Ladang yang menyatakan pangsapuri itu dijadikan rumah transit dengan kadar sewa RM300 dan ada yang membayar RM850.
Raja Baharin berkata, perbandingan kos sewaan dengan pangsapuri Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menunjukkan hanya dengan kos RM125 sebulan mereka dapat kemudahan buang sampah, dewan serbaguna, surau di pangsapuri dan pejabat penyelenggaraan yang tidak terdapat di Ladang Gemilang.
Katanya, ketiadaan kemudahan buang sampah amat mendukacitakan kerana ia merupakan keperluan asas.
“Dalam tiga siasatan pasukan kami menziarahi penghuni Ladang Gemilang dari tingkat 1 hingga 12, tidak ada yang membayar kurang dari RM300 sebulan,” jelasnya.
Tambahnya, di dalam perjanjian penduduk Ladang Gemilang dengan pihak kerajaan negeri memang sah dan nyata bahawa ia merupakan semata-mata perjanjian sewa sahaja dan tidak ada disebut sewa beli.
“Kami amat bersimpati dengan kebimbangan mereka yang hanya tinggal tempoh beberapa bulan lagi untuk menyewa dan tidak ada tempat lain untuk tinggal setelah rumah mereka di Ladang Tok Pelam telah dirobohkan oleh kerajaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan