HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Februari 2013

Rakyat Sabah pastikan Anwar jadi PM – Bekas Pembantu Menteri Sabah

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Yakin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang diterima semua kaum, membuatkan Pembantu Menteri Sabah, Datuk Yapin Gimpoton memilih untuk menyertai KEADILAN.

Berkongsi kisah di sebalik penyertaan itu, Yapin berkata, kemasukannya dalam KEADILAN untuk bersama-sama menyambung perjuangan Pakatan Rakyat ke Sabah khususnya untuk mengangkat martabat rakyat.

Yapin (kanan) bersama Ketua Cabang Tuaran, Ansari Abdullah.
Yapin (kanan) bersama Ketua Cabang Tuaran, Ansari Abdullah.

“Dia adalah satu-satunya pemimpin Melayu tulen, tidak seperti Mahathir (Mohamad). Ketokohannya memimpin negara ada di sebalik maksud setiap pangkal nama yang saya labelkan. Anwar membawa maksud A-Amanat N-Nasional W-Wawasan A-Aman dan R pula untuk Rakyat,” jelasnya.

“Kali ini rakyat Sabah akan pastikan beliau jadi Perdana Menteri ke-7. Kita berdoa apa pun terjadi, tiada yang mustahil jika Tuhan berkehendakkan begitu (Anwar jadi PM),” katanya ketika dihubungi dari sini.

Yapin dan seorang lagi personaliti Sabah – bekas Timbalan Menteri Pusat, Datuk Ahmad Shah Tambakau secara rasmi menyertai KEADILAN sewaktu lawatan Ketua Umum ke negereipada hari pertama Tahun Baru Cina, 10 Februari lalu.

Yapin berkata, beliau turut mengagumi kesepakatan semua parti dalam Pakatan dan ingin turut serta dalam aspirasi pilihan rakyat.

“Saya sokong perjuangan KEADILAN yang bergerak bersama-sama PAS dan DAP untuk membantu rakyat. Dalam Pakatan Rakyat, semua rakyat hidup sepakat, seperti tiga utas tali dipintal jadi satu, susah untuk diputuskan,” katanya.

Beliau berkata, angin perubahan melanda Sabah pasti membuatkan Umno semakin goyang, akhirnya melenyapkan parti itu dari bumi Sabah.

“Mereka (rakyat) kena buat perubahan, kerana tahun ini jubli emas 50 tahun Sabah Sarawak bergabung dengan Tanah Melayu. Pastinya rakyat akan menggunakan tahun ini untuk mengubah kerajaan.

“Kali ini rakyat Sabah sendiri akan tutup pintu kepada Umno. Mereka cukup marah dengan Umno kerana bagi kad pengenalan kepada warga asing untuk dijadikan pengundi. Saya dari kaum Bajau, saya tengok mereka marah sekali dalam isu ini,” ujarnya.

Tambah Yapin, rakyat Sabah kini sedar mereka ditipu dan tidak akan memberi peluang kepada Umno lagi untuk terus ditipu.

“Tidak susah untuk tutup pintu kepada Umno jika rakyat Sabah bersatu hati. Kebanyakan orang Melayu sendiri tolak Umno.

“Umno itu ‘pembuyot’ (penipu), parti mereka mana ada berbilang kaum. Mereka tubuh Kadazan Dayak Murut (KDM) di bawah Umno, sedangkan terang-terang Umno itu hanya untuk Melayu dan Islam kerana Umno itu sudah maksudnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,” katanya.

“KEADILAN pula parti berbilang kaum. Sebab itu kita yakin dengan KEADILAN. Pilihan raya kali ini pasti akan berlaku perubahan,” kata bekas ahli parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) itu lagi.

Tiada ulasan: