SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Satu pasukan petugas khas polis ditubuh bagi menyiasat
kejadian penggodaman sistem aplikasi dalam laman web Jabatan Penerangan,
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) semalam.
Ia ditubuhkan di bawah Unit Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman.
Pengarah JSJK Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata meskipun insiden
itu yang pertama melibatkan sistem aplikasi berkenaan, tindakan dan
siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan ia tidak berulang.
"Kami akan siasat dan kenal pasti dalang kejadian ini dan seterusnya
mengambil tindakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 5, Akta
Jenayah Komputer 1997 itu melibatkan pelbagai aspek, termasuk berhubung
alamat Protokol Internet (IP) yang merekodkan pengguna dari luar negara.
Semalam, sistem aplikasi e-Akhbar dan e-Press milik jabatan itu digodam
dengan penyiaran dua kenyataan bertajuk Memo Permohonan Rakyat Malaysia
dan Perdana Menteri Secara Rasminya Meletak Jawatan.
Berikutan kejadian itu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa
mengarahkan semua jabatan dan kementerian meningkatkan tahap
keselamatan laman web masing-masing untuk mengelak ancaman penggodam.
Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman membuat laporan
polis berhubung pencerobohan kedua-dua sistem aplikasi itu.
Beliau mengesyaki ia dilakukan untuk mencetuskan suasana tidak menentu
dalam negara dan sekali gus mencemarkan imej dan nama baik jabatan itu
yang berfungsi sebagai media rasmi kerajaan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan