ASPAN ALIAS
UMNO sedang sibuk untuk meminta
ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk melakukan siasatan ke atas isu pemilihan CEC
parti DAP di Pulau Pinang Januari lalu. Hishamuddin Hussein, baru sahaja
menghadapi malu kerana meminta ROS mengambil tindakan terhadap DAP kerana gagal
menghantar laporan persidangan tahunan DAP dalam jangka masa yang telah di
tentukan. Ketua Pengarah ROS juga berkata dengan nada yang sama.
Tetapi akhirnya telah jelas yang
isu itu merupakan isu yang tidak wujud kerana laporan yang di perlukan itu sesungguhnya
telah di hantar oleh DAP pada 8hb Februari yang lepas. ROS telah memohon maaf
kepada DAP kerana kesilapan itu. Hishamuddin berkata di Johor dua hari yang
lepas mengakui yang laporan yang di hantar oleh DAP pada 8hb Februari itu tidak
sampai ke pengetahuannya. Ketua Pengarah ROS juga mengakui kesalahan tidak
mengetahui yang DAP sudah pun menghantar laporan itu ke pejabat ROS dalam
tempoh yang di benarkan.
Hishamuddin terus berkata apabila
laporan itu sudah dihantar sekarang sampailah masanya ROS menyiasat tentang
tuduhan yang DAP telah melaksanakan pemilihan secara tidak betul dan berlaku
penipuan dalam proses pemilihan CEC itu. Oleh kerana pilihanraya sudah hampir
dan ternyata DAP telah mendapatkan sokongan dan meningkatkan pengaruhnya di
kalangan rakyat berbilang kaum. Maka parti ini sedang menghadapi tekanan yang
berbagai-bagai dari pihak kerajaan, dan kali ini menggunakan isu yang kononnya
ada penipuan dalam pemilihan CEC bulan Januari yang lepas.
Sesungguhnya ROS bebas untuk
melakukan siasatan itu kerana sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap isu
ini, tidak siapa pun boleh menghalang ROS melakukan penyiasatan berdasarkan
kepada laporan yang di buat oleh beberapa orang ahli DAP sendiri itu. Kita
faham pihak kerajaan dan Kementerian yang bertanggungjawab sedang berusaha
melakukan apa sahaja untuk memberikan tekanan terhadap DAP yang kian hari kian
berpengaruh termasuk dikalangan orang Melayu sendiri.
Tetapi saya tidak mahu menyentuh
tentang penyiasatan itu, tetapi saya hanya hendak memberikan pandangan yang
sebenarnya yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri. ROS mesti melakukan
siasatan terhadap UMNO yang mempunyai hampir 20,000 cawangan itu.
Kita semua tahu UMNO sudah tidak
wujud secara moralnya di cawangan-cawangan di seluruh negara. Tidak banyak
cawangan yang bergiat dan UMNO sesungguhnya sedang menghadapi ‘brain death’ di
bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan di seluruh negara. UMNO merupakan parti
yang melakukan penipuan dihampir kesemua bahagian di seluruh negara termasuk di
bahagian Pekan, tempat Najib menyandarkan harapan dan masa depan beliau.
Boleh dikatakan hampir 50 peratus
dari cawangan-cawangan di seluruh negara bermesyuarat agong cawangan mereka
tidak mencukupi korum mesyuarat. Ahli-ahli yang terdaftar dengan parti itu
sendiri tidak berminat untuk menyertai kegiatan parti itu termasuk untuk hadir
dalam mensyuarat agong cawangan mereka sendiri. Tetapi tidak ada pun cawangan
yang dimatikan atau digantung oleh ROS.
Kebanyakkan ketua-ketua cawangan
telah membuat laporan palsu dan jumlah cawangan yang melakukannya adalah dalam
jumlah ribuan. Banyak minit-minit mesyuarat cawangan-cawangan UMNO di palsukan
kerana cawangan-cawangan itu gagal mendapatkan korum yang secukupnya bagi
mesyuarat agong cawangan mereka. Cawangan-cawangan ini akan menghantar perwakilan
ke persidangan tahunan bahagian dan ini secara otomatik akan menjadikan
persidangan perwakilan bahagian itu terbatal kerana kehadiran perwakilan dari
cawangan-cawangan yang haram di seluruh negara.
Maka dengan sendirinya semua
perhimpunan agong UMNO di Kuala Lumpur setiap tahun itu adalah persidangan-persidangan
yang haram dari segi undang-undang pertubuhan negara. Jika benar ROS
betul-betul bertanggungjawab terhadap tugas dan fungsi jabatan itu, maka UMNO
perlu di siasat dan saya boleh memberikan jaminan yang penyiasatan itu akan
lengkap dalam masa sehari dua sahaja kerana perkara ini berlaku di dalam ribuan
cawangan-cawangan parti itu.
UMNO baru ini telah memasukkan
klausa dalam perlembagaan parti itu di mana tidak boleh sesiapa pun
dibenarkan
membawa parti itu ke mahkamah oleh ahli-ahli yang tidak berpuas hati.
Kandungan
Bab ini adalah di sebabkan UMNO tidak berkeyakinan yang mereka mampu
melunaskan
syarat dan peruntukan dalam bab atur-peraturan parti itu dan Pimpinan
UMNO Tertinggi takut parti itu akan menghadapi kes-kes mahkamah yang
dilakukan oleh
ahli-ahlinya yang bertimbun-timbun.
Itu bezanya di antara DAP dengan
UMNO. Ahli-ahli DAP boleh membawa kes ketidak puasan hati ahli-ahlinya kemuka
pengadilan sedangkan ahli-ahli UMNO tertekan kerana tidak dibenarkan oleh
perlembagaan mereka untuk membawa partinya ke mahkamah.
Sesungguhnya tanpa melakukan
apa-apa penyiasatan pun kita tahu UMNO yang baru ini adalah sebuah parti yang
haram dari sudut undang-undang pertubuhan. Parti itu parti yang menekan
terhadap ahli-ahlinya. Sesiapa yang membawa kes parti mereka ke Mahkamah akan
dipecat dan tidak ada tempat untuk merujuk untuk penyelesaian masalah mereka.
Itulah sebabnya UMNO sudah mati sebenarnya kalau kita lihat dari segi
undang-undang dan etika serta moral nya.
Cawangan-cawangan yang merupakan
tempat kuasa di perolehi itu tidak berfungsi lagi. Sesungguhnya UMNO sudah
tiada lagi kerana UMNO tidak dapat dikawal lagi oleh mana-mana badan dan
Jabatan Penguat kuasa Pertubuhan.
Saya ulangi, UMNO itu adalah
parti yang haram yang sedang berkuasa dan tentulah kerajaan yang sedang
dipimpin oleh UMNO itu bukanlah kerajaan yang ‘legitimate’ lagi. ROS boleh
lakukan apa sahaja terhadap DAP dan belum tentu lagi ada penyelewengan dalam
pemilihan parti itu.
Tetapi yang pastinya UMNO adalah
haram dari segi pertubuhannya kerana di setiap peringkat khususnya di banyak
cawangan-cawangan nya, minit mesyuarat mereka adalah minit mesyuarat yang
palsu. Justeru, semua pemegang jawatan dalam UMNO di setiap peringkat sekarang
ini sepatutnya di batalkan oleh ROS serta merta. Saya tidak berapa berani untuk
melabelkan UMNO itu sebagai pertubuhan haram, tetapi keadaan macam itu lah
lebih kurang.
Oleh itu elok ROS mengarahkan
UMNO mengadakan mesyuarat agong cawangan-cawangan, persidangan perwakilan
bahagian-bahagian serta perhimpunan agong sekali lagi untuk memberikan
‘legitimacy’ kepada Najib sebagai Presiden dan semua ahli yang menganggotai
Majlis Tertinggi itu.
Buat masa sekarang mereka sedang
memegang jawatan-jawatan itu secara haram dari segi undang-undang pertubuhan.
Selesaikan masalah UMNO dahulu sebelum menyelesaikan tuduhan terhadap DAP itu.
Itulah sebabnya rakyat mahukan
perubahan dari sebuah kerajaan yang ‘tidak legitimate’ kepada sebuah kerajaan
yang ‘legitimate’. Kita lakukan dalam pilihanraya ini nanti. Jangan undi parti yang tidak sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan