HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 September 2013

Azizan suka melawak tetapi tegas

MSO



Saat saya menyiapkan catatan belasungkawa ini mungkin jasad Ustaz Azizan Abdul Razak sudah pun memasuki ke liang lahad. Tidurlah perwira ku, beradulah dengan tenang. Peluh pelaimu yang membasahi azam dan citamu kering sudah. Namun masinnya tetap terasa di hujung lidah ini. Lembab budimu menyelimuti alam. Tidurlah setenangnya dan semahumu. 


Saya dan Allahyarham, yang tinggal hanya kenangan.
Saya tidak banyak kenangan dan kisah dengan Allahyarham Azizan Abdul Razak yang hari ini kira-kira jam 11:10 pagi tadi telah dipanggil Ilahi menghadap-Nya dalam usia 69 tahun. Hubungan saya dengan beliau tidak begitu intim seperti mana pemimpin-pemimpin veteran lain khasnya dari Kelantan, Terengganu dan lain-lain yang setengahnya saya kenali sejak tahun 80-an lagi. Ini kerana titik batas saya dengan beliau yang dipisahkan geografi kenegerian dan tempoh masa perjumpaan dan pengenalan.

Saya hanya baru akrab dengannya sekitar tahun 1998 di era reformasi. Mula mengenai dekat dengan beliau ialah pada 2004 atau 2005 sewaktu surat khabar Siasah yang beroperasi dibangunan sederet dengan pejabat Harakah di Jalan Pahang. Ketika itu Allahyarham menjadi ahli lembaga pengarah Harakah yang mana saya juga turut menjadi salah seorang yang hadir di dalam mesyuarat sebagai mewakili Siasah. Di sinilah saya mengenali dan mulai rapat dengan beliau.

Di sinilah saya mengenali siapa dia Azizan Razak atau dikenali dengan nama Ustaz Azizan. Dalam beberapa kali bermesyuarat bersama itulah serta menerusi siri-siri interview saya dengannya untuk Siasah, mengenalkan saya dengan Allahyarham. Seorang yang tegas dan suka berterus terang dan banyak cakap. Dia juga suka bergurau dan melawak. Pun begitu dia seorang yang boleh mendengar dan menerima hujah kita. Jika kita berhujah dan memberi dalil-dalil dia akan diam dan bersedia bertukar buah fikiran. Ertinya dia bukan jenis seorang keras 'kerak'.

Ramai mereka yang kenal dan bergaul dengannya menganggap beliau seorang yang 'cengih' atau bengkeng. Saya setuju. Tetapi di sebalik sikap karektor itu beliau mempunyai sekeping hati yang baik dan penuh pengertian. Beliau berpegang kepada maklumat dan bersikap secara profesional. Saya masih ingat apabila dalam satu mesyuarat, saya menjelaskan mengenai relevansi satu tindakan saya yang tidak disenangi beberapa ahli mesyuarat lain. Tetapi beliau tidak memberontak dan akur apabila saya menjelaskan kenapa saya bertindak begitu. Ini menandakan beliau seorang yang berprinsip dan toleransi.

Allahyarham semasa Himpunan Hijau di Kedah.
Kenangan lain yang saya tidak lupakan ialah beliau meminta saya turun ke Kedah untuk membuat liputan bagi membantu Pas Kedah menawan negeri berkenaan. Beliau ketika itu agar terkilan dengan yang katanya kurang memberi perhatian kepada isu-isu di Kedah. Saya yang ketika itu bertanggungjawab menjadi Ketua Pengarang Siasah turun khusus ke Kedah untuk membuat liputan seperti mana dikehendakinya.
Harakah

Dua isu yang menjadi liputan saya ketika itu, iaitu projek penapisan minyak di Pulau Bunting, Yan dan juga mengenai pengambilan tanah sawah padi untuk perumahan. Beliau sendiri yang memandu kereta dan membawa saya meninjau ke kawasan projek penapisan minyak berkenaan.

Beliau mahu saya dedahkan mengenai projek itu yang tidak viable untuk rakyat. Ratusan hekar tanah sawah rakyat berhampiran projek berkenaan akan musnah kerana kesan projek berkenaan. Gara-gara itu rakyat akan mengalami kerugian bila mana tanaman padi mereka musnah.

Saya bersama Allahyarham dan seorang teman Md Radzi Mustapa berjalan kaki melalui batas dan tali air meninjau ke kawasan berhampiran projek berkenaan. Sambil berjalan beliau memberi penjelasan mengenai bahanan projek berkenaan. Menyebut-nyebut projek itu adalah projek kroni. Berpeluh pelai Allahyarham kerana dibahan terik mentari.

Selepas itu beliau membawa saya pusing di beberapa kawasan melihat pembangunan taman-taman perumahan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Allahyarham tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Kedah ketika itu yang dipimpin oleh Mahadzir Khalid sebagai Menteri Besar yang membenarkan status tanah sawah diubah untuk dibina penempatan atau taman-taman baru. Baginya tindakan itu menyebabkan status Kedah sebagai jelapang padi akan terhakis.

Beliau ada figure dan statistik mengenai jumlah tanah yang sudah diterokai atau terlibat dengan pembinaan taman-taman perumahan itu. Alasan beliau kenapa tidak bersetuju dengan pembinaan rumah itu kerana kebanyakan rumah itu dimiliki oleh orang luar Kedah yang berimigran ke negeri itu khasnya dari Seberang Perai, Pulau Pinang.

Dari dua isu yang ditinjau dan didedahkan itu menunjukkan Allahyarham sangat perihati mengenai nasib dan masa depan rakyat. Beliau begitu obses untuk membela rakyat Kedah agar tidak terlepas hak asal mereka. Kecintaannya kepada tanah Kedah begitu tinggi sekali. Mungkin ini ramai yang tidak sedar apabila diukur kepada aksi politik luarannya.

Dari aspek perhubungan dan berkawan dengannya, Allahyarham seorang yang senang untuk didekati. Mudah untuk diajak berbual atau pekena tea tarik. Dia tidak akan lupai setiap orang yang dikendali atau pernah bersembang dengannya. Acap kali juga apabila menjadi MB tatkala berjumpa dengan saya di sesuatu majlis atau muktamar Pas, Allahyarham akan berjalan ke arah saya bertanya khabar. Antara ayat favourite bveliau ialah; "apakah habaq Sayuti, sihat ke. Hang dok tulis apa sekarang. Tidak Abdul lagi ke? Katanya lepas tu dia ketawa.

Mengenai stail dan bentuk pemerintahan dan pentadbirannya, beliau bersikap profesional dan tegas. Sebagai seorang bekas pegawai kerajaan beliau tetap bersistemetik. Sikap inilah menyebabkan ada sesetengah orang tidak senang dan mengatakan beliau tidak mengambil berat kepada orang-orang parti dan lebih memberi muka kepada pegawai kerajaan atau pihak musuh parti (orang Umno). Persepsi inilah menyebabkan ada beberapa kerat orang Pas bertindak membakar kelambu, keluar dari Pas kerana tidak setuju dengan gaya dan pendekatan politik profesionalnya.

Sepanjang beliau menjadi MB sepenggal, lima tahun ada beberapa isu yang melanda pentadbiranya yang merupakan ujian dan cabaran buatnya. Baik ianya dari pihak parti sendiri maupun lawannya Umno. Misalnya isu Kolej Universiti Insian Kedah (Kuin) beliau menunjukkan sikap tegas dan peofesionalnya. Beliau tidak memberi gambaran bersimpati dengan nasib pelajar yang digantung kerana berdemontarsi, sebaliknya membela kolej dengan tindakan itu. Tindakan beliau itu dikecam tanpa mengira apakah tindakan itu relevan dan mengikut peraturan dan undang-undang Universiti dan Kolej. Di sinilah berlaku pertembungan di antara tanggungjawab dan politik.

Manakala ujian paling cemas ialah apabila ada ura-ura beberapa ada Adun Pas memberi kata dua kepadanya, sama melepaskan jawatan atau dijatuhkan. Peristiwa ini dianggap mencalarkan reputasinya sebagai MB. Tetapi alhamdulilah atas persefahaman dan peranan mediator Sallahuddin Ayub yanhg ditugaskan Pas pusat agar mendamaikan keadaan, kejadian buruk itu tidak berlaku.

Kesimpulannya bagi saya Allahyarham cuba membawa satu bentuk politik baru dalam pentadbirannya, di mana cuba memisahkan dari segi tanggungjawab sebagai kerajaan dengan beliau sebagai seorang parti. Percubaan beliau ini mungkin telah disebut sebagai satu tindakan yang kurang bijak tetapi saya percaya apa yang dilakukan Allahyarham selama lima tahun menjadi MB Kedah (2008-2013) akan dilihat satu keistimewaan beliau sebagai politician. Ia adalah kepahitan yang manis pada hujung. Selepas ketiadaan beliau orang akan menilai natijah dan muslihat apa yang dilakukan itu.

Biarpun ada yang tidak suka dan meletakkan kesalahan atas strategi politik dan pentadbirannya, sehingga dijadikan sebab Pas kalah, tetapi seperkara yang tidak boleh dinafikan, Pas dibawah pimpinan beliaulah negeri Kedah buat pertama kali berjaya dirampas oleh Pas. Kejaayan ini adalah sejarah termanis buat Allahyarham dan juga Pas Kedah khasnya.

Siram tembakau air sebeladi,
Tinggal sedikit siram jagung;
Semadilah dikau pemimpin berbudi,
Jasa sebukit dikenang segunung.

Tiada ulasan: