HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 September 2013

Menjelang pemilihan, Najib terpengaruh golongan kanan, bukan jaga rakyat Malaysia?

Oleh EILEEN NG and ELIZABETH ZACHARIAH



















Menjelang musim pemilihan Umno ini, presidennya Datuk Seri Najib Razak (gambar) dilihat lebih cenderung untuk tunduk kepada tekanan golongan kanan dalam parti itu.

Petanda jelas ialah Najib yang tidak dicabar untuk penggal kedua membuat pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan pengkritik melihatnya sebagai ganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

ISA dimansuhkan dua tahun lalu oleh Putrajaya selari dengan imej sederhana Najib sebagai 'reformer' .

 Najib berkata tidak akan menyalahgunakan kuasa untuk menahan mana-mana individu tanpa perbicaraan.

"Kita sedang mencuba yang terbaik mencari keseimbangan hak antara asasi manusia dan mempertahankan kepentingan orang awam. Ini yang diperlukan untuk masyarakat yang matang," katanya.

Barisan konservatif dalam Umno, terutamanya mereka yang dikaitkan dengan bekas Presiden Tun Dr Mahathir Mohamad, pula menggesa untuk platform kemelayuan.

"Najib menerima tekanan daripada sayap kanan parti kerana penting untuknya dalam pilihan raya akan datang mengekalkan kekuatan menggunakan orangnya.

"Fokus bukan Malaysia, tetapi pemilihan Umno," kata Naib Presiden PKR, N Surendran ketika mengulas mengenai perkara itu.

Pakar Strategi DAP, Liew Chin Tong pula berkata, Najib seolah-olah tiada arah tujuan.

"Beliau tiada idea apa yang ingin dilakukan. Polis mencadangkan dan beliau menerimanya dengan tekanan elemen pemimpin kanan dalam parti itu," katanya.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Dr Jayum Jawan, bagaimanapun berkata masih ada harapan sekiranya Najib menepis persepsi beliau dikawal oleh sayap kanan parti.

"Beliau perlu memastikan akta baru tidak digunakan untuk parti lawan.

"Jika itu berlaku ia akan merosakkan demokrasi dan beliau akan menerima kesannya," katanya.

Jayum berkata, walaupun pembangkang khuatir PCA akan digunakan terhadap mereka, kerajaan akan lebih berhati-hati.

"Era ISA digunakan terhadap lawan politik sudah tamat," katanya.

Pakar akademik Universiti Islam Antarabangsa, Datuk Seri Prof Dr Syed Arabi Idid, berkata Najib kembali kepada janjinya namun Najib mungkin melakukannya tanpa memikirkan keselamatan umum.
"Saya tidak rasa beliau ditekan sayap kanan parti.

"Beliau tidak sedar kesan memansuhkan akta pencegahan sebelum ini. Beliau melakukan ini untuk memperbetulkan kesilapan, jadi bukannya memungkiri janji.

"Perdana menteri perlu pragmatik. Antara kembali kepada janjinya atau keselamatan orang ramai, beliau boleh menentukan," katanya.

Tiada ulasan: