HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 September 2013

DAP tidak mahu jadi klon MCA, Gerakan - Guan Eng

Salmiyah Harun,


PETALING JAYA: DAP bercita-cita untuk menjadi sebuah parti bagi seluruh rakyat Malaysia dan tidak mahu menjadi klon MCA, Gerakan apatah lagi Umno BN, demikian menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam ucapannya di Kongres Khas Kebangsaan DAP 2013, Guan Eng berkata, kemerosotan Umno BN dalam PRU13 lalu adalah petanda jelas bahawa politik berasaskan kaum tidak ada masa depan di Malaysia.

"Kami ingin bersuara bagi pihak semua kaum termasuk Iban dari Sarawak dan Kadazan dari Sabah.

"Kita telah membuktikan di Pulau Pinang dan Selangor bahawa Pakatan Rakyat boleh memelihara orang Cina lebih baik daripada MCA, menjaga orang Melayu lebih baik daripada UMNO, membantu orang India lebih baik daripada MIC," katanya.

Beliau turut mengajak ahli DAP bersatu padu dan buktikan bahawa mereka dapat lakukan yang lebih baik daripada BN untuk kesemua rakyat Malaysia.

"Tidak kira siapa, yang penting kita adalah rakyat Malaysia. Hidup rakyat! Hidup Malaysia!," katanya mendapat tepukan gemuruh para perwakilan yang memenuhi dewan sebuah hotel di sini hari ini.

Jelasnya, Malaysia boleh menjadi negara yang cemerlang seandainya mereka memperbaharui keyakinan mereka terhadap rakyat.

"Tanpa mengira masalah yang  hadapi, selagi mana kita mengekalkan kepercayaan terhadap kemampuan dan kebijaksanaan rakyat, rakyat akan menemukan penyelesaiannya bagi kita," katanya.

Tambahnya, BN terancam dengan DAP kerana mereka menawarkan Impian Malaysia yang mendorong perdamaian nasional berbanding balas dendam nasional yang ditawarkan BN.

"Kita melaksanakan politik inklusif dan bukan eksklusif, kita mahu kerjasama dan bukan konfrontasi serta rundingan daripada diktat-diktat.

"Daripada memecah-belahkan rakyat Malaysia dengan fahaman ekstremisme kaum dan agama, kita menyeru ke arah keharmonian kaum dan rasa hormat terhadap kepercayaan masing-masing. Pakatan Rakyat menolak kebencian, keganasan, ancaman, rasuah dan politik wang; yang semuanya merupakan kepakaran BN," katanya.

Justeru katanya, DAP dan Pakatan Rakyat, mesti memperlihatkan kepimpinan alternatif yang lebih baik dan berprinsip, dan menyuarakan asas dasar yang jelas, sekata, inovatif dan berpandangan jauh terutamanya buat pengundi di kerusi-kerusi marjinal.

"Kita mengajak kesemua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam Impian Malaysia - demokrasi berjiwa rakyat menerusi urus tadbir maksima, kerajaan minima yang menumpukan usaha memenangi masa depan dengan pendidikan ke arah perpaduan, integriti dan kecekapan," katanya.

Turut hadir ke kongres ini sebagai jemputan Khas iaitu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Tiada ulasan: