KUALA LUMPUR - Sebanyak 600,000 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diberi kebenaran melanjutkan penangguhan pelaksanaan gaji minimum sehingga Disember ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Mutallib.

Kebenaran itu mengambil kira kemampuan majikan PKS yang memerlukan lebih tempoh masa untuk menstruktur operasi dan kerugian syarikat sebelum memulakan bayaran gaji minimum, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang ingin tahu rancangan Kementerian Sumber Manusia untuk membantu syarikat PKS dalam melaksanakan gaji minimum.

Terdahulu, menjawab soalan Wan Hasan Mohd Ramli (PAS-Dungun) beliau berkata, kerajaan membenarkan majikan PKS untuk berbincang bersama pekerja terlebih dahulu dalam melaksanakan penstrukturan beberapa elaun sebagai gaji.

Bagi majikan PKS yang menggaji pekerja asing, beliau berkata, pembayaran levi dibuat oleh pekerja asing itu sediri, selain majikan dibenar membuat potongan gaji secara 'blanket' untuk kemudahan perumahan dengan kadar maksimum RM50.

Wan Hasan ingin tahu mekanisme dalam membantu syarikat-syarikat kecil dalam melaksanakan skim gaji minimum dan sejauh mana mekanisme itu beroperasi.

Selain itu, Ismail berkata, kerajaan sedang merangka insentif bersesuaian bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing PKS, serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata, insentif itu akan dijalankan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri melalui perbincangan dalam satu bengkel pada Oktober ini.

Menurutnya, satu kajian impak berhubung pelaksanaan skim gaji minimum sedang dijalankan melalui perbincangan bersama majikan yang sedang melaksanakan skim berkenaan.

Ismail juga berkata, daripada 1,239 aduan berhubung pelaksanaan itu, sebanyak 1,001 aduan telah diselesaikan melalui rundingan dengan majikan, pekerja dan kerajaan. - Bernama