PETALING JAYA - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini berkata, DAP masih perlu berusaha untuk menarik sokongan wanita seperti apa yang dilakukan oleh Pergerakan Wanita Umno di bawah pimpinan ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
  
Lim berkata walaupun Shahrizat dikaitkan dengan isu tertentu, namun beliau mempunyai kekuatan tersendiri dalam memimpin Wanita Umno dan sekali gus meraih sokongan kaum wanita.
  
"DAP dan pakatan rakyat masih perlu berusaha lebih gigih untuk menawan sokongan golongan wanita," katanya kepada pemberita selepas selepas mengundi bagi pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Kongres Khas DAP 2013 di sini hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika ditanya apa lagi yang perlu dilakukan DAP untuk memperbaiki kedudukan parti itu.
  
Beliau menarik perhatian bahawa Wanita Umno mempunyai kekuatan dari segi penganjuran pelbagai program ke arah memperkasakan kedudukan kaum wanita dalam Umno.

Dalam pada itu, proses pengundian yang bermula 11.30 pagi berakhir pada 1.30 petang.
  
Seramai 49 calon bertanding merebut 20 kerusi dalam pemilihan semula CEC yang diadakan susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai perkara itu pada 30 Julai lepas.
  
Sejumlah 2,576 perwakilan dari 985 cawangan hadi pada kongres khas parti pembangkang itu.
  
Anggota perwakilan dijangka hadir semula ke dewan tempat perhimpunan itu berlangsung pada jam 6 petang ini manakala keputusan pengundian dijangka diketahui sekitar 7.30 malam.